Sunday, November 22, 2015

Husam Perlu Guna Saluran Rasmi Minta Penangguhan, Bukan Gunakan Media - Takiyuddin

SHAH ALAM : ADUN Salor, Datuk Husam Musa perlu memaklumkan kepada parti secara rasmi menerusi saluran yang wajar sekiranya tidak dapat hadir dalam pertemuan bersama PAS Pusat pada 24 November ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Husam tidak sepatutnya menggunakan kenyataan media sebagai 'perantara' untuk memaklumkan situasinya serta meminta penangguhan kerana cara itu tidak menepati prosedur rasmi.

Beliau ketika dihubungi Antarapos hari ini juga mengesahkan pihaknya masih tidak menerima apa-apa permintaan daripada bekas Naib Presiden itu untuk memohon penangguhan tarikh pertemuan berkenaan.

"Kalau beliau kata mahu meminta penangguhan, kena hantar surat kepada PAS Pusat lah.. jangan hantar kepada akhbar, jangan buat kenyataan begitu saja.. tak boleh. Ini urusan rasmi.

"Dia ada nombor telefon saya, dia ada nombor telefon PAS Pusat.. kalau beliau tak boleh buat sendiri, beliau boleh suruh pembantu dia untuk hubungi saya atau PAS Pusat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Husam dalam kenyataan medianya semalam menyatakan kesediaan untuk dipanggil PAS Pusat bagi memberikan penjelasan ekoran kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan Kelantan.

Namun Husam memaklumkan notis yang dihantar kepada beliau terlalu singkat, justeru meminta tarikh pertemuan itu ditangguhkan kerana pada tarikh itu beliau baru tiba di Malaysia selepas menjalani rawatan di China.

Malah Takiyuddin berkata pihaknya tidak mempunyai halangan untuk menangguhkan pertemuan berkenaan sekiranya dimaklumkan secara jelas.

"Kalau beliau tak boleh hadir, kita tak ada halangan jika beliau meminta tarikh lain. Tapi perlu menerusi saluran yang wajar lah, kepada pejabat agung. Sebab surat ini surat rasmi.

"Kalau beliau tidak minta penangguhan secara rasmi dan jelas, kita anggap beliau tahu dan beliau akan hadir," kata beliau.

Takiyuddin juga enggan membuat sebarang andaian berhubung kehadiran Husam dan berkata pihaknya akan menunggu sehingga 24 November ini sebelum arahan terbaru dikeluarkan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menafikan dakwaan Husam yang memaklumkan tidak menerima sebarang notis berhubung pertemuan berkenaan.

"Surat daripada PAS Pusat, kita hantar ke alamat berdaftar, rumah YB Datuk Husam di Kota Bharu. Ini satu surat rasmi, kita hantar secara pos.

"Kita hantar ke alamat yang berdaftar, alamat rumahnya yang menjadi alamat surat menyurat," katanya.

"Walaupun beliau kata tak terima sebab berada di China, tapi beliau sudah tahu (tarikh diminta hadir)," katanya lagi.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment