Sunday, November 22, 2015
Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebar Maklumat Pengebom Berani Mati Di Sabah
KOTA KINABALU : Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu
termasuk anggota polis yang terlibat menyebarkan maklumat mengenai
kehadiran pengebom berani mati dari kumpulan Abu Sayyaf di sekitar
negeri dan bandar raya ini. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin
Abdul Rahman berkata pihak polis memandang serius perkara itu dan tidak
akan berkompromi berikutan maklumat itu menjadi viral di laman sosial,
sehingga menimbulkan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan negara.
Jalaluddin tidak menolak kemungkinan terdapat pihak atau individu tidak
bertanggungjawab yang sengaja membuat andaian dan propaganda bagi
menimbulkan panik dan kegusaran rakyat negeri ini.
“Saya minta kepada semua masyarakat (Sabah) jangan panik, jangan
terpedaya dan jangan menokok tambah apa-apa maklumat tidak betul itu
kepada semua pihak. “Polis telah membuat laporan polis mengenai perkara
itu dan kita juga sudah mengenal pasti siapa dalang tidak
bertanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
sambutan Deepavali warga polis Sabah di sini, Sabtu. Jalaluddin berkata
demikian bagi mengulas maklumat tersebar yang mendakwa kumpulan Abu
Sayyaf menempatkan lapan pengebom mati di beberapa lokasi penting di
Sabah khususnya sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa
menerima pelbagai maklumat, tidak kira dari dalam mahupun luar negara,
termasuk negara jiran, dan maklumat itu akan ditapis bagi memastikan
kesahihannya. “Tambahan pula dalam isu sekarang ini, Sabah ada sedikit
ancaman daripada negara jiran yang melakukan jenayah rentas sempadan,”
katanya. Jalaluddin yang tidak mengatakan “benar” atau “tidak” maklumat
disebarkan, bagaimanapun berkata, pihak polis akan sentiasa
bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan. “Polis
sentiasa bersedia dan kita tidak akan berdiam diri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment