Sunday, November 22, 2015
Nurul Izzah Boleh Dianggap Sebagai Penderhaka - Ismail Sabri
BERA : Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah
Anwar yang bergambar bersama anak perempuan bekas ketua pengganas Sulu,
Jamalul Kiram III baru-baru ini adalah satu bentuk penderhakaan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
berkata perbuatan Nurul Izzah itu bukan sahaja tidak wajar malah
mengguris perasaan rakyat Sabah dan waris anggota keselamatan yang
terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu dua tahun
lepas.
"Bagi saya bertemu dengan salah seorang anggota yang mengisytiharkan
perang ke atas Malaysia ini sebagai satu tindakan penderhakaan kepada
negara yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan
(POTA) dan Kanun Keseksaan kerana mengisytihar perang terhadap Yang
di-Pertuan Agung.
"Kita amat memuji tindakan awal Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan
pihak polis akan mengambil tindakan seterusnya terhadap Nurul Izzah
sebab ia adalah satu jenayah besar yang tidak boleh dibiar," katanya.
Anggota Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis
Khatan Perdana Parlimen Bera anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bera di
Kompleks Belia dan Sukan, Bera, pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bera, Zool Ihsan Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Bera, Sabariah Saidan.
Seramai 235 kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun terlibat dalam program berkhatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perbuatan Anggota Parlimen Lembah
Pantai itu tidak sensitif dengan perasaan rakyat Sabah yang masih dalam
ketakutan ekoran pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang
didalangi kumpulan itu.
"Nurul Izzah tidak hormati perasaan rakyat Sabah yang takut ketika itu
hingga kini yang memaksa kita menubuhkan ESSCOMM (Kawasan Keselamatan
Khas Pantai Timur Sabah) dan juga pihak Polis Diraja Malaysia kerana
yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah anggota polis," katanya.
Justeru katanya, walaupun Nurul Izzah meminta maaf dan kesal dengan
pertemuan bersama anak perempuan Jamalul Kiram 111, Jacel Kiram, ia
tidak boleh diterima dengan mudah kerana perbuatan itu akan menjadi
ikutan pihak lain.
"Sepatutnya Nurul Izzah sedar lebih awal lagi, ia adalah satu kesalahan
dan permohonan maaf itu tidak boleh kita terima dengan mudah sebab ia
akan beri isyarat yang tidak bagus pada pihak lain dan mereka
berkemungkinan akan membuat kesilapan yang sama," katanya.
Nurul Izzah sebelum ini menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran
gambar berkenaan dan menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil
mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel Kiram dan tidak pernah berkenalan
dengan wanita tersebut.
Katanya Jacel merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput
penganjur program, iaitu Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia
Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden
Filipina.
Semua yang hadir pada majlis itu bergambar dengan beliau sebagai tanda
sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar
Ibrahim dibebaskan serta-merta.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment