Sunday, November 22, 2015

Isu JKKK : Mungkin DAP Rasa 'Selamat' Selepas Singkirkan Ahli PAS - Wan Nik

KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan ahli PAs tidak boleh dianggap menindas dan menzalimi wakil daripada parti berteraskan Islam itu.

Sebaliknya Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Wan Nik Wan Yussoff berkata tindakan itu adalah hak kerajaan negeri pimpinan DAP.

"Itu dah menepati falsafah yang dipegang oleh DAP sebab dia dah iktiraf Pakatan Harapan dalam kerajaan Pulau Pinang.

"Jadi PAS tak termasuk sebagai ahli dalam pentadbiran kerajaan dan itu prinsip demokrasinya begitu," katanya kepada Antarapos.

Selain itu beliau juga menyifatkan tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang kini diterajui oleh Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Jadi dalam konteks Pulau Pinang, PAS memang dah bersedia dengan tindakan yang dibuat.

"Bukan kita menganggap itu tindakan zalim atau apa-apa pun," katanya.

Wan Nik menambah PAS sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku dan telah bersedia dengan pendirian kerajaan negeri DAP itu.

"Memang kita bersedia sebab kita bukan parti dalam Pakatan Harapan," katanya.

Perkembangan terbaru politik tanah air menyaksikan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng bertindak memecat anggota JKKKK dari kalangan ahli PAS selepas dikatakan enggan menerima pentadbiran baru Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat dibubarkan.

Susulan pemecatan itu PAS mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata ekoran tindakan itu PAS tiada pilihan lain dan perlu bertindak sebagai pembangkang kepada bekas rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang.  

**Senario di Pulau Pinang berbeza dengan pentadbiran pembangkang di Selangor**

Mengulas lanjut, Wan Nik berkata pemecatan berkenaan tidak melanggar sebarang peraturan atau perjanjian selepas kedua-dua parti itu tidak lagi bekerjasama.

"Kalau kita ambil asas kombinasi kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP maka DAP bertindak untuk menyingkir PAS itu adalah benar.

"Sebab DAP telah pun putus hubungan dengan PAS, jadi kenapa dia nak ambil lagi orang PAS duduk sebagai ahli dalam pentadbiran kerajaan dia," katanya.

Ujar Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan ini lagi, senario di Pulau Pinang berbeza dengan pentadbiran pembangkang di Selangor yang memperlihatkan PKR mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Berbeza dengan pentadbiran di Selangor, PKR yang masih memerlukan PAS dan PAS boleh membantu PKR walaupun PAS dengan DAP itu tidak bersama.

"Jadi senario itu berbeza dari sudut kuasa itu berbeza, parti yang menguasai kerajaan juga berbeza antara Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Justeru beliau menganggap tindakan DAP itu atas dasar tidak lagi menjalin kerjasama politik dengan PAS.

"Tindakan di Pulau Pinang itu DAP dengan kapasitinya parti yang telah memutuskan hubungan dengan PAS maka dia tidak memerlukan lagi PAS.

"...dan dia merasaai kerajaan ini selamat sebab PAS tidak kuat dalam mesyuarat kuasa majoriti di Pulau Pinang," katanya.

Tambah Wan Nik, amalan demokrasi turut membenarkan DAP bertindak demikian selain mempunyai kuasa majoriti di peringkat negeri.

"Jadi atas nama kuasa demokrasi yang ada DAP bertindak sedemikian, selamat baginya maka tak penting lagi PAS dalam kerajaan," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment