Monday, November 30, 2015
Najib Ulas Pertemuan Nurul Izzah - Jacel Kiram
Tanpa menyebut nama Nurul Izzah,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak mempersoalkan perbuatan individu tertentu yang adakan pertemuan dengan pihak yang mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu yang
menceroboh Lahad Datu pada 2013.
Katanya perbuatan itu bagaikan tidak menghormati perjuangan anggota
keselamatan mempertahankan negara sehingga 10 daripada mereka terkorban
dalam insiden itu.
"Rakyat Sabah tentu tersentuh hati jika ada sesiapa tidak hormati
pengorbanan anggota keselamatan ini... mereka hilang nyawa dengan cara
zalim.
"Apatah lagi kalau mereka lihat ada orang yang berbaik-baik dan
kelihatan mesra dengan mereka yang mempunyai kaitan menyebabkan anggota
keselamatan kita terkorban," katanya.
Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap di majlis Rela
bersama Perdana Menteri di Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan
Ahad.
Walaupun tidak menyebut nama individu terbabit, kenyataan Najib itu
dipercayai merujuk kepada tindakan Naib Presiden PKR yang juga Anggota
Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, berhubung pertemuan
kontroversinya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua
pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Berikutan itu, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan usul
menghalang beliau dan seorang lagi Naib Presiden PKR yang juga Anggota
Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki Sabah.
Sementara itu, Najib berkata kestabilan politik yang jitu merupakan asas
utama kepada keselamatan negara ketika berhadapan dengan ancaman
keselamatan baharu dan lama ketika ini.
"Jika politik dalam keadaan tidak stabil, negara akan bergolak, sama
seperti apa yang sedang berlaku di sesetengah negara seperti Syria,
Tunisia, Mali dan negara Eropah.
"Jika politik dalam keadaan stabil, soal ancaman keselamatan akan lebih mudah ditangani," katanya.
Perdana menteri berkata hakikat pada masa kini, ancaman keselamatan
boleh datang dari pelbagai sudut dan penjuru, serta akan muncul dari
semasa ke semasa.
Ini, katanya, termasuk ancaman pemerdagangan manusia, kehadiran pelarian
serta penyebaran fahaman keganasan menerusi kumpulan pengganas Daesh.
'Daesh' adalah singkatan nama dalam bahasa Arab bagi militan IS.
Najib berkata ini memerlukan perhatian serius semua pihak lebih-lebih
lagi apabila 130 rakyat Malaysia ditahan kerana terlibat dengan kegiatan
itu.
"Ini bentuk ancaman yang kita perlu tingkat kesiapsiagaan bukan sahaja
pasukan hadapan tetapi juga Rela dan 29 juta rakyat Malaysia untuk
mendepani apa jua ancaman keselamatan yang mendatang," katanya.
Sementara itu, Najib berkata anggota Rela yang berjumlah tiga juta orang
di seluruh negara bukan sahaja perlu menjadi mata dan telinga kerajaan,
tetapi juga tangan kerajaan untuk menjadi benteng mempertahankan
keselamatan negara.
Kata beliau, jika polis dan tentera menjadi barisan utama pertahanan
negara, Rela pula adalah barisan kedua dalam menjaga kedaulatan dan
keamanan negara.
"Terima kasih atas daya usaha untuk terus bangunkan Rela sebagai satu
kekuatan tambahan dalam sistem pertahanan negara," katanya.
Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih 10,000 anggota Rela dan agensi di
bawah Kementerian Dalam Negeri itu, Najib turut menyampaikan sumbangan
pakaian operasi digital kepada pasukan Rela daerah Pekan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment