Monday, November 30, 2015
Tun M Akan Hadir Perhimpunan Agung UMNO
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
mengesahkan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno bulan depan sekiranya
dijemput.
Menurutnya, jika beliau dikecualikan daripada menghadiri Perhimpunan
Agung Umno 2015 kerana mengkritik perdana menteri, maka Umno sudah
menjadi parti Najib.
“Kalau saya dijemput, saya pergilah. Ini parti saya, bukan parti Datuk
Seri Najib (Tun Razak) seorang,” katanya pada sidang media, di sini hari
ini.
Semalam, The Star melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mengesahkan Mahathir tetap dijemput menghadiri perasmian
Perhimpunan Agung Umno 2015, 10 Disember ini
Ketika diminta mengulas soal gesaan agar beliau dipecat dari parti,
Mahathir berkata, beliau sebagai ahli berhak untuk bersuara dan selama
ini tegurannya hanya buat Najib bukannya parti.
“Tak apalah dia (Najib) ada hak nak pecat. Tak ada sebab pun nak pecat
(saya) tapi sebab dia berkuasa. Ini satu cara salah guna kuasa. Saya
ahli Umno dan saya berhak dalam Umno.
“Ini bila siapa tegur perdana menteri atau presiden parti (di) buang.
Jadi seolah-olah ini bukan parti Umno...ini parti Datuk Seri Najib.
Siapa tegur Najib kena buang,” katanya.
Menurutnya lagi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
diputuskan tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap
parti, Wanita, Pemuda dan Puteri merupakan salah satu bukti bahawa Umno
sudah menjadi parti Najib.
“Ini tidak mengikut peraturan dan tradisi parti kerana orang ini
(Muhyiddin) dianggap sebagai tidak bersetuju bukan dengan Umno tapi
dengan Datuk Seri Najib. Sekali lagi bukti Umno sudah jadi parti Najib,”
katanya.
Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan ketiga-tiga mesyuarat
itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing sekali gus
mengesahkan bahawa Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti tidak akan
berucap pada perasmian persidangan itu meskipun secara tradisi perasmian
akan dibuat oleh Timbalan Presiden.
Menurut Zahid juga, MT Umno akan memutuskan sama ada Muhyiddin akan
menggulung ucapan sebagai Timbalan Presiden atau tidak, kelak.
Kata Mahathir, Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti perlu hadir dan
duduk di atas pentas sewaktu persidangan serta perlu diberi peluang
untuk berucap kepada perwakilan-perwakilan.
“Dari segi protokol, orang nombor dua ialah Muhyiddin. Kalau dia nak
bercakap, saya harap speaker (pengerusi tetap) bagi peluang kepada dia
bercakap.
“Jika tidak, kita tak payah cakap tentang demokrasilah. Kalau cuma nak
puji Najib sahaja baru boleh cakap, ini bukan lagi parti Umno,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment