Sunday, November 22, 2015
Kakitangan Klinik Swasta Biadab
LABIS : Seorang bapa kesal dengan tindakan biadab kakitangan sebuah
klinik swasta yang beroperasi 24 jam di sini, ketika mendapatkan rawatan
untuk anak lelakinya, malam Selasa lalu.
Menurut Rahman Jamal, 31, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu,
anaknya, Muhammad Aiedy Aierill, 9, tidak sedarkan diri secara tiba-tiba
di rumah mereka dan dia bergegas ke klinik berkenaan untuk mendapatkan
rawatan awal.
"Ketika saya sampai ke klinik tersebut, salah seorang kakitangan wanita
yang berada di kaunter memberitahu rakan setugasnya dengan nada sinis
bahawa anak saya dah nak mati sekali gus membuatkan saya terkejut.
"Malah, dia juga tak benarkan saya bawa masuk anak ke bilik rawatan
kecemasan dengan alasan ada pesakit lain sedang menerima rawatan ketika
itu," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Rahman, mengikut pengetahuannya, terdapat beberapa kes seperti
pengsan, serangan jantung dan melecur teruk adalah kes kecemasan yang
perlu diberi rawatan segera, terutamanya melibatkan kanan-kanak
berbanding sakit biasa seperti demam dan sebagainya.
"Saya panik sebab ini kali pertama anak saya tidak sedarkan diri dan
lebih mengejutkan lagi apabila doktor bertugas bertindak menyuruh anak
saya berdiri seolah-olah dia sedang tidur, sedangkan ketika itu dia
terlalu lemah serta belum sedarkan diri.
“Selang beberapa minit, doktor itu hanya beri surat dan arahkan saya
supaya bawa anak ke Hospital Daerah Segamat (HDS) yang terletak
kira-kira 24 kilometer dari klinik tersebut, sedangkan saya berharap
anak saya diberi rawatan awal ketika itu,” katanya.
Ujarnya lagi, sebaik keluar daripada bilik rawatan, rakan petugas
kaunter berkenaan meminta maaf atas perbuatan rakannya itu yang
disifatkan tidak sopan.
"Tetapi sebaliknya, rakannya itu tak tunjukkan reaksi bersalah ataupun
minta maaf. Sebagai petugas klinik mereka perlu sedar bahawa pesakit
mengharapkan layanan serta rawatan memuaskan kerana mereka bukannya
mendapatkan rawatan secara percuma.
“Saya harap perkara ini tak berlaku kepada pesakit lain," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri,
Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun klinik tersebut merupakan klinik
swasta, pegawai perubatan dan kakitangannya juga perlu mematuhi etika
dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya nasihatkan klinik swasta di negeri ini agar berikan perkhidmatan
terbaik kerana ia cerminan kepada sikap profesional dan etika kerja
sekali gus dapat menjaga imej klinik swasta," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment