Tuesday, September 01, 2015

Benarkan SPRM, PAC Siasat DEIG

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali didesak supa­ya membenarkan Ja­wat­ankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bagi meneliti kemungkinan wujudnya amalan penyalahgunaan kuasa dalam pemindahan aset Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepada Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bernilai kira-kira RM30 bilion.
https://i.ytimg.com/vi/7XvngWOpG_Y/hqdefault.jpg
Gesaan itu dinyatakan oleh Setiausaha Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi susulan daripada persoalan yang timbul di sebalik pemindahan aset terbabit yang didakwa Mohamed Azmin sebelum ini bahawa DEIG akan menanggung sepenuhnya risiko pelaburan yang dibuat oleh syarikat terbabit, bukannya MBI atau kerajaan negeri.

“Kenyataan Menteri Besar itu adalah tidak munasabah sama sekali memandangkan DEIG adalah di bawah MBI dari segi pemilikan serta sumber kewangan. Sebagai pemilik penuh DEIG, MBI akan memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh anak syarikatnya itu haruslah mendatangkan pulangan.

“Justeru, risiko pelaburan yang dibuat oleh DEIG sudah tentunya akan ditanggung secara langsung oleh MBI selaku pemilik modal. Mengapa pula Menteri Besar sebaliknya menyatakan risiko itu ditanggung sepenuhnya oleh DEIG?” soalnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, Budiman turut mempertikaikan ketelusan Mohamed Azmin selaku pemegang amanah dari segi undang-undang ke atas setiap aset negeri dengan membenarkan pemindahan aset RM30 bilion milik MBI kepada DEIG untuk menjalankan perniagaan tanpa mendapat kelulusan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu.

Tindakan sedemikian katanya, seolah-olah Mohamed Azmin tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara yang utama dalam membuat keputusan berkenaan sedangkan penubuhan MBI itu adalah tertakluk di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor.

“Kita juga difahamkan DEIG telah beroperasi di sebuah premis dan para pegawai kanannya telah pun dilantik. Malah DEIG dilapor telah pun mengumumkan akan terlibat dengan projek pembangunan bernilai RM10 bilion. Jika benar, bilakah sebenarnya projek itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri?

“Justeru, kita gesa supaya PAC Selangor, SPRM, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara membuat siasatan mengenai perkara ini. Pada masa sama, Mohamed Azmin perlu memberikan kerjasama dengan membenarkan kesemua jawatankuasa berkenaan termasuk agensi-agensi yang terlibat menjalankan siasatan secara terperinci,” tegasnya.

Dalam pada itu, selain PAC dan agensi-agensi yang terlibat, Budiman turut menggesa Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat penelitian terhadap pengagihan wang zakat berjumlah RM5 juta oleh DEIG yang didakwa disalurkan kepada cabang-cabang PKR sebagaimana yang dilaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Rakyat Sedar (Aras) kepada pihak berkuasa pada 31 julai lalu.

“Jika Menteri Besar sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa DEIG masih belum beroperasi, mengapa syarikat ini dilapor membuat agihan zakat berjumlah RM5 juta? 

Masalah pengagihan itu difahamkan dibuat tanpa merujuk kepada LZS,” ujarnya

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment