Tuesday, September 01, 2015
Cauvinis Dan Kumpulan Kecewa Tunjuk Taring
Demonstrasi
Bersih 4 jelas memperlihatkan taring kelompok cauvinis propembangkang
dan kelompok serpihan kecewa dan kelompok memperjuangkan nasib seorang
tokoh yang terpalit dengan aktiviti dikatakan tidak bersih. Mereka
adalah golongan muflis semangat kewatanan dan memilih tempat dan tarikh
menjelang kemerdekaan untuk mempamerkan belang keserakahannya kepada
khalayak.
Meneliti sejarah perjuangan kemerdekaan terhubung dengan analogi atau
misalan pejuang-pejuang terdahulu menebang dan menebas belantara yang
membelenggu untuk dijadikan ladang dan kebun. Di hutan belantara
terdapat musuh-musuh kemerdekaan yang bersembunyi dan telah mengorbankan
ramai wira bangsa bila mereka diserang hendap.
Bila hutan belantara sudah bersih ia ditanam dengan pohon yang
mendatangkan hasil.
Buah-buah dari pohon dipetik dengan rakusnya oleh
pihak yang lupa diri tanpa bertanya siapa yang membersihkan hutan
belantara dan enggan berkongsi hasil dengan waris peneroka.
Hari ini tanah yang luas terbentang menjadi bandar dan bandar-bandar
baharu, projek perumahan yang mahal yang tidak mampu dibeli oleh waris
peneroka menjadikan taburan penduduk tidak seimbang bakal menentukan
corak kuasa dan ketuanan pada masa depan.
Kelompok ini bangun dengan menuduh keadilan tidak terjadi, kezaliman
berlaku dan mereka dinafikan hak ekonomi dan pendidikan serta kebebasan
bersuara sedangkan ekuiti (pegangan) ekonomi dan perniagaan yang
dimiliki hampir 80 peratus dan ratusan kolej dan universiti swasta
terbina. Ini dicerminkan dengan aktiviti Bersih 4 dengan melakukan
penghinaan dan kebencian melampau dengan tujuan menjatuhkan kerajaan
yang dipilih cara demokratik. Mereka disertai dengan golongan yang
kecewa dan tidak mahu mengaku yang benar itu benar dan yang salah itu
salah.
Mereka lupa untuk menginsafi bahawa gelagat mereka sedang diperhati
oleh kelompok majoriti senyap dan menggunakan generasi muda yang lupa
sejarah dan perjuangan orang terdahulu yang berhempas pulas
menebang-menebas hutan belantara dan melakukan pengorbanan supaya
kehidupan mereka tidak terbelenggu.
Generasi muda ini banyak menikmati hasil kemerdekaan dan berpeluang
untuk belajar dalam dan luar negara tetapi tidak bersyukur dan merasa
terima kasih terhadap tangan yang memberi sebaliknya menggigit tangan
itu dan bersubahat dengan pihak yang kecewa.
Mereka cuai untuk mengambil
iktibar bahawa sifat sejarah mengulangi jejak. Pepatah Melayu menyebut
di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Malang sekali terdapat
anak cucu waris yang sanggup dijadikan alat dan lembu laga untuk memecah
belahkan generasi waris seperti yang dilakukan oleh penjajah terdahulu.
Dasar pecah dan perintah mengulangi semula supaya tanah ladang ini
akan dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Kelompok kecewa ini tidak serik
dengan pengalaman lalu dan membiarkan diri dipatuk ular di lubang yang
sama untuk kesekian kalinya. Mereka harus sensitif dengan perasaan anak
cucu waris yang sedang terkial-kial untuk berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan pihak lain.
Ini adalah prasyarat perpaduan negara kerana tanpa jurang dirapatkan
rasa curiga akan terus terjadi. Hasil tanah ladang ini harus dikongsi
sama supaya keseimbangan terjadi dan keadilan berlaku. Ini mengingatkan
penulis terhadap golongan Baba Peranakan di negeri-negeri Selat yang
melakukan proses asimilasi dengan menyantuni masyarakat setempat tanpa
perlu menukar sistem kepercayaan. Ia ternyata berhasil membentuk
masyarakat yang bersatu dan mengenang budi.
Kontrak sosial yang terbina semasa mencapai kemerdekaan harus jadikan
pedoman supaya sifat saling membantu dan muafakat tinggi terjadi kerana
kekayaan yang terdapat di tanah ladang ini harus dikongsi supaya
kepentingan negara menjadi sesuatu yang paling utama.
Perpaduan di negara ini sesuatu yang amat penting. Sekiranya ada niat
sesuatu kelompok masyarakat dengan tipu muslihat untuk mengambil alih
kuasa ia tidak baik bagi masyarakat Malaysia.Rasa kebersamaan dan
gelagat kekitaan perlu disemai terutama di kalangan generasi muda supaya
mereka dapat menjadi mata rantai perjuangan menjadikan tanah ladang ini
membangun dan subur dan hasil terokaan yang dilakukan dapat dinikmati
bersama.
Asas ini penting difahami supaya tidak ada pihak yang merasakan
dirinya terpinggir dan tidak ada pihak ingin melakukan monopoli atau
penguasaan terhadap ekonomi, pendidikan dan perniagaan.
Dipetik daripada sumber : Jendela Tok Ki (Utusan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment