Sunday, September 20, 2015
Felixia Maafkan Amanah Kerana Salahguna Gambar Untuk Poster Parti
PETALING JAYA : Model Felixia Yeap memaafkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggunakan gambarnya untuk tujuan politik.
"Dengar kata "parti" tu dah minta maaf? Baguslah macam tu. Tolong jangan
ulangi perkara ini lagi," tulis beliau di laman Facebooknya.
Felixia atau nama Islamnya, Raisyyah Rania Yeap berkata isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan sejak dari awal lagi.
"Anda semua sepatutnya lebih tahu untuk tidak menggunakan gambar dan
nama orang lain tanpa kebenaran, persetujuan atau kelulusan mereka...
saya pasti.
"Ia seperti menimbulkan fitnah seolah-olah mengatakan saya terlibat
dalam parti politik, apabila saya tidak pernah terdengar mengenainya
sebelum ini," tulisnya.
Felixia turut berterima kasih kepada parti tersebut kerana memadamkan
gambar yang kononnya menunjukkan beliau menyokong parti baharu
dilancarkan itu.
Gambar tersebut menjadi viral di laman media sosial.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Melaka, Adeysham Nor
meminta maaf secara terbuka kepada Felixia berhubung isu poster Anti
Rasis parti itu yang menggunakan gambar model tersebut.
"Kami memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu
ini. Pihak kami berjanji akan lebih cakna dan berhati-hati dalam
menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang,"
katanya dalam satu kenyataan.
Adeysham berkata semua status berkaitan poster tersebut telah dipadamkan
dalam tempoh kurang 24 jam ia dikeluarkan selepas mendapati tidak
mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
"Pihak kami juga telah mengerahkan 1000 anggota “Orange Army” untuk mengesan dan mencari poster itu di media-media baru.
"Mana-mana poster yang dapat dikesan akan diminta untuk dipadamkan dan tidak diviralkan lagi," katanya.
Pada Sabtu, poster Felixia dengan kata-kata,"Saya Felixia Orang Cina
& Beragama Islam" dan "Islam Rejects Racism" tersebar di laman media
sosial.
Terdapat juga simbol Amanah dalam gambar tersebut.
Parti Amanah telah dilancarkan secara rasmi pada 16 September dengan
kepimpinan tertingginya terdiri daripada bekas ahli-ahli progresif PAS.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment