Wednesday, September 02, 2015
Sah Gugur Talak Tiga Hatta Dan isteri
Hakim
Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad (gambar) mengesahkan perkahwinan
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya gugur
talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah
Pas negeri itu.
Pada masa sama, beliau berkata, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk
semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan
mana-mana individu dan bercerai.
“Kalau tengok kandungan dalam bai’ah Kelantan, sah jatuh talak tiga
(perkahwinan Mohd. Hatta). Kedua-dua pasangan itu juga tidak boleh lagi
tinggal bersama kerana bukan lagi suami isteri.
“Bagi membolehkan pasangan itu rujuk, bekas isteri kepada wakil
rakyat tersebut perlu berkahwin dengan sesiapa, bercerai dan baharulah
boleh berkahwin semula dengan Mohd. Hatta,” katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan
sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi
ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan
kepemimpinan Parti Pekerja.
Mohd. Hatta yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan
satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai itu.
Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di negeri ini yang
mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara
automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.
Pada masa sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut
menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang melanggar ba’iah tersebut
supaya merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah berikutan terdapat
bai’ah cerai talak tiga yang dilafazkan mereka sebelum ini.
Sementara itu, Daud berkata, setakat ini Mohd. Hatta masih belum
mendaftar mengenai status perkahwinan tersebut di Mahkamah Syariah.
“Mohd. Hatta masih belum datang merujuk mengenai status perkahwinannya di mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob yang
juga Menteri Besar menyeru kepada Mohd. Hatta supaya segera merujuk
kepada Mahkamah Syariah mengenai status perkahwinannya.
Katanya, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dengan jelas telah
melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain
tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.
“Kita telah membuat keputusan dan menghantar surat berserta lampiran bai’ah yang pernah dilafazkannya kepada Mohd. Hatta.
“Dari segi hukum, lafaz taklik talak tiga telah terjatuh dan itu
pandangan yang diberikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan,”
katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment