Monday, November 09, 2015

AMANAH Desak Perjanjian Pakatan Harapan dan PAS di Selangor


KUALA LUMPUR : Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa satu perjanjian kerjasama dibuat antara Pakatan Harapan (PH) dan Pas di Selangor.

Cadangan itu dibuat Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad untuk mengelak kesulitan semua pihak dalam pentabiran kerajaan negeri itu.

“Persoalan status dan kedudukan kerajaan negeri Selangor boleh diselesaikan dengan dirasmikan hubungan semua pihak melalui satu perjanjian kerjasama antara PH dan PAS.

“Pendekatan sebegini tidak menjejas kedudukan samada PH Selangor atau PAS Selangor,” katanya.

Dalam tulisan di blognya, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kedudukan dan status kerajaan Selangor perlu diperjelas dan diselaras.

Jelasnya, ia perlu supaya kerajaan negeri Selangor, tidak lagi dilihat sebagai sebuah ‘kerajaan dua gabungan’ yang tidak saling memperakui satu sama lain.

“Suasana ‘anamoli’ atau kepelikan ini perlu diatasi supaya paling kurang, kerajaan Selangor dilakukan -Khalid bersatu dan kukuh dengan identiti yang jelas dan tersendiri.

“Bukan lagi sebagai kerajaan dua gabungan yang satunya rasmi dan satunya tidak. Dikhuatiri ia akhirnya digambarkan bagaikan suami yang mempunyai isteri yang sah dan pada masa sama seorang wanita simpanan,” ujarnya lagi.

Atas keperluan itu, katanya hubungan antara PH dan Pas perlu dirasmikan dengan ikatan yang sah demi kepentingan rakyat Selangor.

“Amanah khuatir sekiranya rakyat Selangor naik jemu dengan suasana terumbang-ambing dan tidak jelas yang wujud dewasa ini berhubung kedudukan kerajaan negerinya.

“Dikhuatiri ianya dilihat sebagai kegagalan mengutamakan rakyat dengan mengurus perbezaan secara konstruktif dan membina.

“Sekiranya suasana ‘politik berjerebu’ ini berterusan sehingga PRU ke 14, dikhuatiri rakyat akan menghukum PH dan juga PAS melalui peti undi,” katanya lagi. 


Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment