Tuesday, November 03, 2015

PAS Tak Layan Desakan DAP Tukar Exco Kerajaan Negeri

SHAH ALAM : Pas tidak akan melayan sebarang desakan DAP yang mahukan wakil parti itu dipecat dari pentadbiran kerajaan negeri atas dakwaan memungkiri janji dalam pakatan pembangkang baharu.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad sebaliknya mahu DAP menghentikan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan politik yang boleh menyebabkan rakyat merasa jemu.

“Kita kena fo­kus untuk selesaikan masalah rakyat, bukan terus bermain politik.

“Rakyat sudah jemu dengan politik, sebaliknya mereka memerlukan pembelaan," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Iskandar mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong yang dilaporkan mencadangkan kepemimpinan tertinggi parti memberi kata dua kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.

Yoke Kong dikatakan membuat cadangan berkenaan semasa Konvensyen Tahunan DAP Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini atas alasan Pas memungkiri janji dalam pakatan pembangkang baharu.

Malah, beliau seperti mengugut yang DAP tidak akan teragak-agak untuk keluar dari kerajaan PKR Selangor sekiranya Mohamed Azmin gagal memecat wakil Pas dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pihaknya akan mengekalkan status quo dalam pentadbiran kerajaan negeri bersama-sama PKR dan DAP, sama seperti pilihan raya umum lalu.

“Tiada sebab untuk kita (Pas) keluar dari kerajaan negeri. Kita menang pilihan raya umum atas nama pakatan yang disertai tiga parti (Pas, PKR dan DAP)," ujarnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment