Monday, November 09, 2015

Syabas! Kerana Tolak UEC


Tabik kepada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana tidak melayan desakan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti-unversiti awam.

Tahukah kita apa itu UEC? Akronim UEC  ditakrifkan sebagai  Unified Examination Certificate atau  Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina. Ia merupakan sijil pembelajaran yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dibenarkan beroperasi mengikut caranya sendiri, menggunakan silibus Unified Examination Certificate (UEC), dengan syarat mesti mengikuti kehendak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara tidak langsung, pelajar ini akan memiliki DUA sijil sekali gus iaitu UEC dan SPM.

Umumnya, Sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V), Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML) yang mana kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek sains dan semua subjek aliran perdagangan.

Sejak dahulu lagi, Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina telah menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan.  Mereka enggan mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan. Sebaliknya menggunakan kurikulum yang kebanyakannya diciplak dari Taiwan. Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaiannya sendiri, bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sekali gus tidak memenuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Rasional kenapa Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf  dan  menerima  Sijil UEC sebagai kelayakan memasuki IPTA amatlah mudah difahami berdasarkan kepada alasan berikut;

•  Pertama – Sistem pembelajaran dan subjek diajar di dalam bahasa Mandarin dan meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Sekolah Menengah Persendirian Cina.

•  Kedua – Bagaimana hendak menilai tahap kecintaan negara jika pelajar ini tidak bercampur-gaul bersama kaum lain.

•  Ketiga – Kelonggaran hanya dikhaskan kepada pelajar dari luar negara sahaja boleh dipertimbangkan menggunakan sijil pendidikan mengikut standard negara mereka ketika memohon memasuki ke IPTA. Permohonan  dari pelajar dalam negara pula perlulah mempunyai kelayakan SPM.            

•  Langkah ‘menghalalkan’ sijil UEC sebagai ‘tiket’ masuk ke universiti tempatan dikhuatiri mendatangkan impak jangka panjang kepada kita semua. Di antara kesan-kesan negatif yang bakal dihadapi ialah;

• Pertama – Meningkatkan lagi jurang pendidikan yang kita alami selama ini. Ini berlaku apabila ibu bapa yang telah yakin dengan pengiktirafan yang diberi sudah tentu berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke SMPC. Ia akan menyebabkan berlakunya percanggahan dengan semangat gagasan 1Malaysia yang kerajaan uar-uarkan. Di manakah ertinya perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?

• Kedua – Mencipta suasana persaingan tidak sihat atas padang yang tidak rata. Umum maklum, sekolah Cina memiliki kemudahan jauh lebih baik berbanding sekolah kebangsaan (SK) kerana mereka sebulat suara dan sekuat tenaga dalam hal melibatkan kepentingan pendidikan kaum mereka tanpa mengira status sosial dan fahaman politik.

Apa yang kaum Cina tuntut ini terutama oleh badan ekstremisnya, Dong Jiao Zong  adalah tidak baik untuk negara, malah untuk kaum itu sendiri juga. Tuntutan mereka jika diterus menerus dilayan akan melahirkan generasi baru Malaysia yang berpecah-belah, penuh syak wasangka dan benci-membenci sesama sendiri. Oleh itu, segala tuntutan para kiasu ini perlu dihentikan segera, iaitu pada dan ketika ini juga.

‘Menghalalkan’ sijil UEC untuk ke IPTA hanya akan menggagalkan gagasan 1Malaysia sebaliknya menjayakan 2Malaysia! Jika ia dibenarkan maka cita-cita pembentukan negara bangsa dan perpaduan sebenar rakyat Malaysia nyata akan bertambah kusut dan mati.

Hakikatnya, toleransi kerajaan sudah tidak ada tolok banding. Dahulu, terdapat peruntukan Akta Pelajaran 1961 memberi kuasa mutlak kepada Menteri Pelajaran untuk menghapuskan sekolah vernakular. Sebagai menghormati hak bangsa lain, peruntukan ini telah dimansuhkan dalam Akta Pelajaran 1996. Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi menghapuskan sekolah vernakular.

Isu UEC merupakan isu yang jauh melangkaui soal pendidikan dan pelajaran. Ia merupakan isu jati diri, perpaduan dan nasionalisme sebagai rakyat Malaysia.

Bayangkan jika kita tunduk kepada tuntutan tersebut, apakah akan terjadi kepada agenda kebangsaan dan pembinaan negara bangsa?


Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment