Sunday, September 20, 2015
Abdul Hadi Gesa Wakil Rakyat PAS Letak Jawatan Jika Sertai Parti Lain
DUNGUN : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu mengulangi
gesaan supaya wakil rakyat parti itu meletakkan jawatan jika menyertai
parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).
Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana semua calon PAS pada pilihan
raya umum lepas telah melafazkan Bai'ah bersumpah, dan mereka akan
dilaknati Allah swt jika melanggar Bai'ah itu.
"PAS sebagai parti Islam membuat Bai'ah dengan Anggota Jawatankuasa PAS
Pusat, para pemimpinnya dan calon-calon pilihan raya dengan sumpah
Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.
"Semasa berBai'ah, kita sebut sebagai calon Parti Islam Semalaysia (PAS)
dan tidak disebut PKR atau DAP. Ini diucapkan oleh setiap calon sama
ada yang menang atau kalah.
"Parti (PAS) mewajibkan dalam Bai'ah jika dipecat keluar parti, mereka
kena letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Ini disebut dalam
bai'ah itu," jelas Abdul Hadi semasa berucap pada program Himpunan
Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai dekat sini.
Turut hadir pada program tiga hari itu yang berakhir pada Sabtu, ialah
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali; bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Pesuruhjaya PAS negeri,
Satiful Bahri Mamat.
Abdul Hadi berkata, gesaannya merujuk kepada tindakan beberapa wakil
rakyat PAS yang menyertai Amanah, parti baharu yang diterajui bekas
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Pada sidang media kemudian, Mustafa mengesahkan tiga pemimpin tertinggi
PAS telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan PKR termasuk
presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin bagi
membincangkan mengenai tahaluf siyasif dalam pakatan pembangkang.
Dalam pertemuan itu di Ibu Pejabat PKR Kuala Lumpur, PAS diwakili oleh
Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk
Takiyuddin Hassan dan Mustafa manakala PKR diwakili beberapa pemimpin
tertingginya yang diketuai oleh Wan Azizah.
"Kita masih tahaluf dengan PKR tetapi dengan DAP dan parti baharu (Amanah), kita tak ada tahaluf," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment