Thursday, September 03, 2015
Cadangan Petani Dikecualikan GST Akan Dipanjangkan Kepada Kerajaan Pusat – MB Kedah
ALOR SETAR : Kerajaan negeri akan memanjangkan cadangan
Pertubuhan Peladang Negeri Kedah kepada kerajaan pusat supaya golongan
petani dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata ketika ini golongan petani terpaksa membayar GST pada
kadar tinggi ke atas perkhidmatan seperti lori dan logistik lain.
“Industri pertanian khususnya padi, banyak subsidi diterima, tapi
walaupun begitu ia tetap sektor penting kerana jaminan bekalan makanan,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
Pertubuhan Peladang Negeri Kedah kali ke-32 di sini.
Cadangan pengecualian GST tersebut dikemukakan oleh Pengerusi Jemaah
Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah Abd Lateh Md Saman dalam
ucapannya pada majlis itu.
Menteri Besar berkata Kedah ketika ini memperuntukkan sehingga
240,000 hektar tanah hutan untuk kawasan penanaman padi dan empangan
demi menjamin bekalan makanan negara walaupun kawasan itu berpotensi
memberi pulangan lebih lumayan untuk projek lain.
Terdahulu, Mukhriz dalam ucapannya mengingatkan pertubuhan peladang
supaya tidak leka dengan kemasukan pelaburan langsung asing yang besar,
penghapusan tarif tertentu serta kewujudan perdagangan di antara negara
ASEAN.
Kesemua itu, menurutnya, dilihat memberi kesan dari aspek peluang
perniagaan, dan sekiranya pertubuhan peladang tidak mempersiapkan diri,
mereka akan ketinggalan.
Sehubungan itu katanya, pertubuhan peladang perlu meningkatkan
produktiviti melalui aktiviti yang berasaskan inovasi dalam sistem
tanaman, kejenteraan ladang dan keberkesananan penggunaan jentuai.
“Melalui penguasaan teknologi maklumat atau lain-lain teknologi yang
berkaitan dengan bidang usaha di pertubuhan peladang, maka kerja-kerja
dapat dihasilkan dengan pantas dan cekap,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment