Wednesday, September 02, 2015
Kewangan Masa Depan Perlu Ada Kaitan Kukuh Dengan Ekonomi Benar – Zeti
KUALA LUMPUR : Aspek kewangan masa depan perlu
mempunyai kaitan lebih kukuh dengan ekonomi benar menerusi peranan
perantaraan yang memberi khidmat kepada masyarakat.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz,
berkata sistem kewangan juga harus mencakupi aspek nilai tambah dan
berasaskan nilai untuk membolehkannya menyumbang dengan lebih bermakna
sebagai perantara dan kemudahan untuk aktiviti ekonomi benar yang
memanfaatkan orang ramai.
“Sistem kewangan seumpamanya amat diperlukan dalam ekonomi global,”
katanya berucap pada Forum Etika Kewangan Global di Edinburgh, Scotland,
semalam.
Teks ucapannya dikeluarkan di sini, hari ini.
Zeti berkata, kebanyakan negara membangun misalnya, turut
memerlukan sejumlah dana besar bagi menampung pembangunan infrastruktur.
Aspek kewangan terangkum turut menjadi agenda utama bagi
meningkatkan kehidupan kelompok yang tersisih dalam komuniti global,
katanya.
Justeru, katanya, penting untuk mewujudkan rejim yang mengamalkan
kedua-dua aspek nilai tambah serta kewangan berasaskan nilai dengan
teras prinsip sejagat yang akan menghasilkan model mampan bagi kewangan
positif dalam sistem kewangan global.
“Rejim yang berteraskan aktiviti pengeluaran baik iaitu tidak
menggalakkan hutang berlebihan dan menekankan soal ketelusan serta
mengukuhkan hubungan pihak kewangan-pelanggan sudah pasti dapat menjadi
penggerak positif dalam sistem kewangan global.
Menurut Gabenor bank pusat itu, aspek itu adalah antara asas kewangan
Islam yang terbukti kian penting di kebanyakan pelusuk dunia.
Malah, langkah mengukuhkan aspek penawaran dan permintaan kewangan
nilai tambah dan berasaskan nilai akan menyumbang ke arah peningkatan
hubungan sistem kewangan global kepada ekonomi benar.
Zeti turut membangkitkan kepentingan untuk memupuk kepemimpinan lebih
kukuh di tahap global yang membolehkan peranan sokongan serta kemudahan
meleraikan isu halangan selain menyatukan pelbagai pihak berkepentingan
untuk bekerjasama dalam persekitaran lebih teratur.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment