Wednesday, September 02, 2015
Pijak Gambar Pemimpin Perbuatan Biadab, Keterlaluan Dan Tidak Bertamadun – Zambry
IPOH : Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
menyifatkan perbuatan memijak gambar pemimpin yang dilakukan sebilangan
peserta perhimpunan Bersih baru-baru ini sebagai biadab, keterlaluan dan
tidak bertamadun.
Beliau berkata perbuatan yang amat mengecewakan itu adalah hasil
budaya kebencian yang ditanam oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam
pemikiran anak-anak muda.
“Ini merupakan satu budaya yang hilang adabnya, yang bersifat kurang
ajar dan langsung tidak ada rasa hormat kepada pemimpin…apabila kita
mengajar tentang budaya benci, inilah akibatnya…
“Paling malang lagi tarikh yang dipilih ialah ketika seluruh rakyat
perlu meraikan hari kemerdekaan tanpa ada batas-batas politik, merentasi
perbezaan ideologi ataupun kepartian,” katanya dalam sidang akhbar
selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.
Zambry berkata berkata dari satu segi, perbuatan memijak gambar
pemimpin Melayu oleh kaum lain amat sensitif dan boleh dianggap satu
penghinaan sehingga menyebabkan ada pihak yang akan mengambil tindakan
susulan.
“Sebab itu perkara-perkara seperti ini perlu dijaga kerana kita hidup
dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya, mungkin
budaya itu ok kepada satu kaum tetapi bagi orang Melayu ia dianggap
sebagai perbuatan yang tidak boleh dimaafkan,” kata Zambry.
Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan negeri Perak akan memantau perkembangan ini.
Terdahulu, Zambry meminta pemilik bangunan, khususnya yang mempunyai
nilai warisan atau seni bina unik supaya menjaga, menghias serta
memperbanyakkan lampu di premis mereka bagi mengindahkan suasana malam
di Ipoh.
Beliau turut menggesa agar papan iklan serta papan tanda di bangunan
pejabat dan kedai diseragamkan bagi mewujudkan identiti tersendiri
bandar raya ini.
Katanya, langkah ini bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke Perak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment