Wednesday, September 02, 2015
Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM65 Juta Atasi Banjir Kilat Di Pelabuhan Klang
PELABUHAN KLANG : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan
sejumlah RM65 juta untuk projek menaik taraf sistem saliran bagi
mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Pelabuhan Klang, kata
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh
Omar.
Beliau berkata projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS) negeri itu dibahagikan kepada dua fasa dan membabitkan enam lokasi
iaitu Sungai Dua Besar, Pelabuhan Utara; Jalan Pelabuhan Utara; Pejabat
Lembaga Pelabuhan Klang; Royal Selangor Yacht Club; Jalan Kem Kampung
Sungai Keladi dan Jalan Tangki.
“Kesemua kawasan ini diberikan perhatian utama memandangkan ia adalah
kawasan industri yang merupakan sumber pendapatan negara,” katanya
dalam sidang media selepas meninjau perjalanan projek berkenaan di sini,
hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan,
Ketua UMNO Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah dan Timbalan Pengarah
Pembangunan 2 JPS Selangor Mohamad Nazif Daud.
Menurut Noh, ketika ini fasa pertama projek berkenaan sedang berjalan
membabitkan kos RM25 juta di Sungai Dua Besar dan Royal Selangor Yacht
Club dan ia dijangka siap pada Februari 2016.
Noh berkata fasa kedua membabitkan kos RM40 juta membabitkan baki empat kawasan dan dijangka dimulakan awal tahun depan.
“Kita berharap projek ini akan dapat dipercepat dan tidak
terbengkalai berikutan kerajaan persekutuan telah mengeluarkan belanja
yang banyak untuk memastikan banjir tidak berlaku di kawasan industri
ini.
“Selepas siap nanti, projek ini akan diserah kepada kerajaan Selangor
untuk penyelenggaraan dan jika tiada penyelenggaraan yang baik, segala
yang diusahakan oleh kerajaan persekutuan tidak akan mencapai matlamat,”
katanya.
Menurut Noh, pada tahun ini sahaja terdapat 20 pertambahan kawasan
banjir yang baharu di Selangor berpunca daripada kegagalan kerajaan
negeri memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik.
Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memastikan 20 kawasan terbabit diberi perhatian
khusus bagi mengelak pertambahan kawasan baharu yang akhirnya akan
membeban dan menyusahkan rakyat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment