Sunday, September 20, 2015

PAS Tolak Pelawaan Berunding Dengan DAP, Amanah - Mahfodz

SHAH ALAM : Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan parti itu tidak bersedia mengadakan rundingan meja bulat bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sambil menyifatkan ia bukan waktu yang sesuai untuk mereka menjalin kerjasama bersama dua parti itu.

"Kita menyokong penuh ketegasan Presiden PAS kerana Amanah ini adalah satu parti yang khianat kita, jadi buat masa ini kita tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan mereka.

"Manakala DAP juga terlalu awal untuk kita hendak bersama mereka kerana baru diceraikan, dalam istilah talak dan cerai kita anggap edah tidak habis lagi," katanya menurut laporan Sinar Harian.

Kenyataan Mahfodz itu sekaligus memberi gambaran penolakan parti itu terhadap pelawaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azizah pada Khamis berkata, semua parti pembangkang bakal mengadakan persidangan meja bulat Selasa ini dalam rangka untuk membentuk pakatan pembangkang yang baharu.
 
Rundingan itu yang bakal disertai pimpinan NGO seperti Abim, Wadah, Ikram, Bersih dan Negaraku serta tokoh seperti Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno) dan bekas Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Simon Sipaun akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya.

Presiden PKR itu berkata, persidangan meja bulat itu bertujuan membincangkan perkara-perkara penting yang perlu dipersetujui bersama ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang selama ini bersama-sama berjuang.

Dalam pada itu Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor berkata, secara peribadi beliau berpandangan kerjasama antara parti Islam itu bersama DAP perlu bersyarat bagi mengelakkan 'pisang berbuah dua kali'. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment