Wednesday, September 02, 2015

Penganjur Bersih 4 Disoal Siasat Polis, Enggan Dedahkan Derma RM2.4 Juta....

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, polis juga bertanyakan tentang kandungan kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya pada 29 Julai lalu mengenai pelancaran himpunan itu dan butiran setiap ahli jawatankuasa pada 14 Ogos lalu.

"Mereka tanya tentang himpunan itu, bagaimana kami mengendalikannya, cara kami menyuraikan orang awam pada hujung himpunan dan bagaimana kami menguruskan sukarelawan," katanya kepada pemberita selepas bertemu polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

"Kami bagaimanapun menggunakan hak kami untuk tidak menjawab kebanyakan soalan, termasuk hal sumbangan. Kami akan menjawabnya di mahkamah jika didakwa."

Selain Maria, turut disoal polis selama 2 jam setengah adalah ahli sekretariat Sarajun Hoda Abdul Hassan, Masjaliza Hamzah, Farhana Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri, dan Adam Adli Abdul Halim.

Mereka ditemani peguam 10 peguam termasuk Datuk Ambiga Sreenevasan, Ramkarpal Singh, Eric Paulsen dan Latheefa Koya.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 120, 124C, 140 dan 141 Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang merosakkan demokrasi berparlimen dan menganjurkan perhimpunan haram.

Maria berkata, audit akan dibuat terhadap RM2.45 wang sumbangan yang diterimanya dan menyediakan bajet perbelanjaannya.

"Jumlah yang dibelanjakan untuk himpunan agak banyak. Bakinya akan digunakan untuk kes kajian persempadanan semula kawasan undi, serta pendidikan dan pendaftaran pengundi untuk pilihan raya umum ke-14," katanya.

Walaupun himpunan berjalan aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis masih boleh mengambil tindakan terhadap penganjur dibawah Akta Perhimpunan Aman dan undang-undang lain.

Katanya, polis memantau ucapan pemimpin semasa himpunan itu termasuk di Kota Kinabalu dan Kuching.

Bersih 4 mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya mendesak perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan perubahan institusi lain.

Sehari sebelum himpunan berlangsung, Putrajaya mengharamkan penggunaan perkataan Bersih 4 berwarna kuning dalam sebarang bentuk.

Namun larangan itu tidak menghalang orang ramai turun apabila penganjur menganggarkan kira-kira 500,000 menyokong himpunan pada hari tersebut. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment