Wednesday, September 02, 2015

Lafaz Cerai Talak Tiga Terpakai Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai : PAS

KOTA BHARU : PAS menganggap hubungan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan isterinya terbatal selepas mengesahkan taklik mengenai cerai talak tiga terpakai jika mana-mana wakil rakyat parti itu keluar atau melompat parti.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia berdasarkan pandangan Hakim Ketua Mahkamah Syariah Kelantan.

Beliau berkata, dalam lafaz baiah dan taklik sebelum ini sudah jelas mengatakan mana-mana pemimpin PAS Kelantan yang keluar parti dan menyertai parti lain, lafaz berkenaan akan terpakai secara automatik.

“Justeru, Dr Hatta dan pasangannya perlu merujuk perkara itu kepada Mahkamah Syariah kerana berdasarkan taklik yang dibuat, lafaz itu sudah terpakai,” katanya pada sidang media di sini.

Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS berpegang teguh kepada pendirian itu kerana baiah setiap calon yang bertanding di Kelantan mengandungi tambahan iaitu cerai taklik talak 3.

“Terserah pada dialah kalau rasa terikat atau tidak dengan baiah itu tetapi pendirian PAS ialah baiah itu mengikat, taklik itu pun mengikat. Baiah setiap negeri sama cuma di Kelantan terdapat tambahan lafaz taklik talak 3".

“Jadi kepada sesiapa yang keluar parti (tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat) dia kena tanggunglah akibat,” katanya.

Dr Hatta adalah antara wakil rakyat PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipengerusikan Mohamad Sabu. Beliau diumumkan sebagai antara Ahli Jawatankuasa Amanah yang bakal ditubuhkan 16 September ini.

Sementara itu, Dr Hatta berkata, beliau tidak mahu dikaitkan dengan isu berkenaan dan mahu persoalan itu ditujukan kepada ahli PAS sahaja.

“Saya parti lain. Itu tanya orang PAS. Saya tidak tahu apa-apa mengenainya sebab saya bukan lagi bersama PAS,” katanya, lapor sebuah portal. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment