Thursday, September 03, 2015
Pijak Gambar Najib, Hadi : Lebih 30 Laporan Polis Dibuat
Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.
Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik
iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang
dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang
dan Perlis hari ini.
Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan
Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster
dua pemimpin itu segera ditahan.
Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama
Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan
Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan
Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak
bertanggungjawab dan melampau.
“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah
membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,”
katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul
di sini.
Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri,
Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0
segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga
ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana
Menteri.
Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan
peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas
membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai
agenda tersembunyi.
“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan
bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan
polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.
Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai
Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung
Dusun Nyior.
Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau,
Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil
tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab
segelintir peserta perhimpunan tersebut.
“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam
kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada
pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
Barat Daya, Balik Pulau, di sini.
Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak
berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih
4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor,
Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan
Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.
“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur
dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen
505 Kanun Keseksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat
Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.
Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua
individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram
Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan
polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.
Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta
perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden
UMNO.
Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut
membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap
perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri
dan Abdul Hadi.
UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO
negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah
Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment