Tuesday, September 01, 2015
Rasanya Tidak Perlu Perlu Tun Mahathir Tunjukkan 'Suci Dalam Debu'...
EDITOR MENULIS...
1 SEPTEMBER 2015
Apabila dikatakan 'Melayu mudah lupa', maka ramai akan teringat pada
puisi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tidak dapat
dinafikan, jasa dan pencapaian beliau sebagai ahli politik, Presiden
UMNO dan Perdana Menteri amat hebat sekali selama lebih 22 tahun.
Namun apabila beliau hadir dalam demonstrasi jalanan Bersih 4 baru-baru
ini, maka secara terang-terangan menunjukkan negarawan itu telah berjaya
mencapai ke tahap yang beliau sendiri lafazkan, 'Melayu mudah lupa'.
Bukan saya seorang yang beranggapan sedemikian, malah pandangan itu
dapat dilihat dengan jelas oleh mereka-mereka yang waras, rasional dan
tidak taksub kepada sifat manusia yang penuh dengan kelemahan serta
perubahan sikap yang mengejutkan.
Pada 29 April 2014, Tun M ada menulis di blog beliau dalam tulisan yang
bertajuk "Street Demonstration", di mana dalam penulisannya itu beliau
mengecam. mengutuk dan menyindir pedih mereka yang melakukan demonstrasi
jalanan, khususnya siri-siri Bersih.
Namun hari ini, terbukti beliau 'lupa' dengan tulisannya itu, menandakan
Tun M dalam usia tuanya berubah prinsip kepada 'matlamat menghalalkan
cara'. Dalam kata lain, negarawan itu telah menghalalkan cara yang
sebelum ini beliau anggap salah untuk memenuhi matlamatnya.
Apa matlamat beliau? Apa lagi kalau bukan menjatuhkan Dato' Seri Najib
Tun Razak dari kerusi Perdana Menteri, bukan? Sudah beberapa kali Tun M
memberitahu dunia tentang matlamat terkini beliau sebelum 'menutup
mata'nya...
Kononnya beliau mahu menjatuhkan Najib kerana 'rakyat'. Sekali lagi,
nama 'rakyat' diperguna. Padahal, maklumat yang beliau gunakan untuk
menghalalkan perlakuannya menjatuhkan Najib itu hanyalah bersandarkan
dari media antarabangsa yang beliau sendiri kutuk dan tidak percaya
ketika berjawatan Perdana Menteri dulu. Sekali lagi beliau 'lupa' fakta
itu?
Saya tidak pernah menafikan bahawa ramai pihak yang terpengaruh dengan
'perjuangan terbaru' Tun M itu. Rata-ratanya anak muda yang sedang
berjinak-jinak dengan dunia politik dan baru mengenal medan politik
negara. Masih 'mentah' dan 'hijau' tentang erti permainan politik
sebenar...
Pada pandangan saya, golongan itu hanya tahu tentang perkataan
'retorik' dan mungkin hanya tahu maknanya dari kamus Dewan Bahasa
sahaja. Namun dari sudut pengertian sebenar dalam dunia realiti politik
negara, mereka 'ZERO', kosong dan 'blur'. Tidak mengerti apa-apa.
Mereka fikir ketika Tun M menjadi Presiden UMNO dulu, beliau benar-benar
'bersih' dari sebarang sumbangan dana politik? Mungkin Tun M selaku
Presiden UMNO dan BN ketika itu membiayai parti politik kerajaan dengan
wang poketnya sendiri?
Mungkinkah selama 22 tahun beliau jadi orang no.1 negara ketika itu
beliau hanya menggunakan RM10 juta saja untuk membiayai UMNO dan BN?
Untuk membiayai kos mesyuarat cawangan UMNO di zaman Tun M hanya
memerlukan RM2 sahaja dan kos itu datanganya dari poket Ketua Cawangan
UMNO? Sungguh naif politik pandangan itu...
Tidak perlulah Tun M tunjuk 'suci' dalam 'Doctor In The House' yang
penulisan itu mendakwa kononnya beliau 'tidak pernah' menggunakan wang
dalam pembabitannya sebagai ahli politik. Ia hanya membuat saya
hampir 'muntah' selepas menerbitkan kata 'bull shit!' di bibir...
Seorang rakan saya berkata, kenyataan Tun M yang mengatakan beliau
'turun bersama Bersih 4 itu bukanlah untuk menyokong gerakan pihak
pembangkang namun untuk menjatuhkan Najib' itu samalah seperti beliau
'berkahwin dengan Tun Siti Hasmah kerana beliau bukanlah cinta pada
beliau namun hanya kerana Tun Siti Hasmah itu adalah seorang wanita'.
Itu pandangan rakan saya dan pandangan saya pula tidaklah senakal
itu. Cuma pada diri saya, apa saja tindakan Tun M selepas ini
hanyalah merupakan retorik politik untuk menghalalkan matlamatnya untuk
menjatuhkan Najib.
Jika sanggup melakukan perkara yang salah untuk memenuhi matlamatnya,
maka saya tidak hairan Tun M akan melakukan perkara yang lebih
dahsyat lagi berbanding menyertai Bersih 4 kali ini.
Malah saya
yakin, jika beliau Perdana Menteri dan Najib menjadi Timbalannya, tidak
mustahil Najib akan diperlakukan lebih hina dari Dato' Seri Anwar
Ibrahim.
Biarpun begitu, tidak perlulah Tun M selepas ini cuba 'menegakkan benang
yang basah' kerana namanya 'sudah menjadi bubur'. Biar apa pun yang
beliau lakukan selepas ini terutama dalam gerakan menjatuhkan Najib,
saya tidak akan sokong lagi.
Pada pandangan saya, ia seolah satu permainan politik peringkat
tertinggi dari 'pintu belakang' yang membabitkan Tun M, Tan Sri
Muhyiddin, Dato' Seri Shafie Apdal, dan beberapa pihak yang selama ini
berada di bawah 'payung' mantan Perdana Menteri itu, termasuk anaknya
yang kini yang berkuasa di Kedah.
Dalam "permainan' ini, berkemungkinan besar yang menang akan menjadi
arang dan yang kalah akan menjadi abu. Malah permainan ini juga bakal
menentukan siapa wala' pada fiqh mentaati pemimpin dan siapa 'gunting
dalam lipatan'. Sejak akhir-akhir ini, warna sebenar mereka semakin
jelas kelihatan...
Cuma saya harap, pasukan Najib mampu menangani masalah Tun M dan
konco-konconya itu. Jika Tun M dulu berjaya menangani Bapa Kemerdekaan,
Tunku Abdul Rahman Putra yang jauh lebih berjasa darinya, Ku Li, Anwar
dan ramai lagi pihak yang mendesak beliau meletak jawatan dengan
pelbagai skandal besar, rasanya Najib juga mampu berbuat demikian....
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment