Wednesday, September 02, 2015
Selepas Mat Sabu Pergi, PAS Sepatutnya Lebih Fikirkan Perpaduan Ummah
Saya memerhatikan dari jauh. Segala tindak tanduk bekas Timbalan
Presiden PAS, Mohamad Sabu sering menjadi perhatian saya. Itu bukanlah
bermaksud saya menjadikan beliau sebagai idola, namun kerana dialah saya
menjauhkan diri dari PAS kira-kira 25 tahun yang lalu…
Ketika Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dinobatkan sebagai
Timbalan Presiden PAS, hati saya sudah terdetik bahawa PAS sedang menuju
kehancuran.
Bukan saya seorang saja yang berpandangan sedemikian, namun rakan-rakan
saya yang tegar bersama PAS di Kedah turut sependapat dengan saya. Kata
mereka, Abang Mat hanya akan membawa PAS ke arah sosialisme dan
liberalisme, sekaligus mematikan kepimpinan ulama…
Kira-kira 25 tahun lalu, saya sering dibawa arwah ayah ke
ceramah-ceramah PAS. Yang paling kerap ialah ceramah Mat Sabu. Namun
pertama kali saya mendengar ceramah maki hamunnya, hati saya tertutup
untuk memperjuangkan PAS.
Dalam ceramah Mat Sabu itu, dia mengatakan bahawa PAS adalah parti yang
memperjuangkan Islam. Tapi selepas itu terbit kata-kata mencarut, maki
hamun dan caci cerca terhadap saudara seagama sendiri. Sejak itu, PAS
pada saya hanya sebuah parti politik biasa. Tiada yang istimewa
melainkan kepura-puraan semata-mata…
Kini Mat Sabu bukan lagi pemimpin PAS. Malah dia kini bukan lagi ahli
PAS. Turut diheret bersamanya adalah beberapa kerat pemimpin PAS yang
kecewa akibat kalah bertanding jawatan di dalam parti.
Pada saya, golongan tersebut tiada apa yang berkualiti dalam perjuangan
mereka melainkan perjuangan untuk mendapatkan jawatan. Apabila kalah
bertanding dan gagal mendapat jawatan, mereka kecewa, memprotes,
menghentam dan menghina, serta akhirnya keluar parti.
Benarlah bagai dikata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa
PAS berlapang dada bila “syaitan dalam jemaah” dan konco-konconya itu
bertindak keluar dari parti. Tindakan itu adalah satu gerakan
“pembersihan” di dalam PAS. Saya setuju.
Pun begitu, saya masih enggan menyokong PAS kerana parti itu masih lagi
menyumbang kepada pepecahan di kalangan umat Islam di negara kita.
Sebagai sebuah parti yang kononnya mendaulatkan Islam sebagai wadah
perjuangan, mereka perlu berusaha menyatu padukan umat Islam di
Malaysia, bukan dengan bermufaraqah mencipta ideologi dan fahaman yang
memecah-belahkan ummah.
Saya tidak menyatakan bahawa UMNO itu sempurna sebagai parti politik.
Namun sekurang-kurangnya, UMNO masih lagi mengutamakan kepentingan
Islam, bangsa Melayu dan tanahair yang pernah bergelar Persekutuan Tanah
Melayu ini.
Malah dari sudut teknikal siyasah negara, UMNO sebagai parti tunjang di
dalam Barisan Nasional (BN), masih lagi merupakan parti dominan yang
tradisinya mengetuai barisan kepimpinan kerajaan berbanding parti
komponen yang lain.
Itu adalah berbeza dengan kedudukan PAS di dalam Pakatan Haram sebelum
ini yang sanggup meletakkan diri sehina “keldai tunggangan”,
diperkotak-katikkan DAP dan PKR sewenang-wenangnya sehingga berlaku
pepecahan dalaman PAS yang sangat dahsyat.
Lagipun, dengan pendirian PAS yang kini bergerak secara solo, mungkin
agak berkesan dari sudut “check and balance” di Dewan Rakyat mahupun
DUN. Namun untuk membentuk dasar atau mentadbir, itu adalah agak
mustahil buat masa ini.
Sekiranya PAS benar-benar bijak, mereka akan bertindak mufaraqah secara total dengan DAP mahupun PKR.
Sebagai contoh, PAS perlu menarik diri dari membentuk kerajaan negeri di
Selangor dan bertindak meletak jawatan dari sebarang jawatan di dalam
kerajaan negeri itu. Seterusnya, ia akan menyebabkan kerajaan “boneka”
DAP itu lumpuh dan tidak layak lagi menjadi kerajaan.
Seterusnya, PAS boleh berkompromi dengan UMNO atau BN di Selangor dan
membentuk kerajaan campuran di negeri itu. Ia sekurang-kurangnya memberi
kelebihan kepada PAS untuk dilihat sebagai satu gerakan menyatu-padukan
dua parti terbesar Melayu Islam walaupun tidak secara total.
Saya tidak memaksa PAS untuk menerima cadangan saya itu. Terserahlah
untuk menerimanya atau tidak. Namun seikhlas hati saya, mungkin itulah
pengorbanan yang dituntut oleh agama Islam dalam hal ehwal siyasah,
sejajar dengan semangat “Tahaluf Siyasi” yang sebenar.
Bagaimanapun, ia terletak pada keikhlasan hati PAS. Pada pandangan saya,
UMNO atau BN berkemungkinan besar akan berlapang dada menerima konsep
kerajaan campuran dengan PAS.
Setahu saya, sudah lama umat Islam di
negara ini nantikan detik-detik itu, kan? Wallahu’alam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment