Wednesday, September 02, 2015
Kerajaan Negara Asean Perlu Tambah Insentif Bagi Aturan Kerja Fleksibel
PUTRAJAYA : Kerajaan negara anggota ASEAN perlu menimbang
memberi lebih banyak insentif bagi perbelanjaan yang ditanggung majikan
dalam melaksanakan aturan kerja fleksibel, kata Timbalan Menteri Sumber
Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Beliau berkata ia bertujuan mendorong lebih banyak syarikat melaksanakan aturan itu.
Menurut beliau, aturan kerja fleksibel akan memberi lebih banyak
kebebasan kepada pekerja dari segi masa mereka memulakan dan menamatkan
kerja, dengan syarat mereka tidak mengurangkan jumlah jam bekerja yang
ditetapkan majikan.
“Sekiranya aturan kerja fleksibel dilaksanakan dengan lebih meluas
pada masa akan datang, maka tenaga mahir, suatu aspek penting dalam
integrasi Komuniti Ekonomi ASEAN, akan dapat dikekalkan,” kata Ismail
ketika menyampaikan ucaptama pada seminar “Menseimbangkan Fleksibiliti
dan Keselamatan Pasaran Buruh ASEAN di sini hari ini.
Ismail berkata aturan kerja fleksibel dijangka menjadi aspek penting
dalam strategi sumber manusia kebanyakan syarikat memandangkan tenaga
kerja, terutama dalam kalangan generasi baharu, semakin prihatin
terhadap keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
“Oleh itu, syarikat tempatan perlu menimbang secara serius untuk
melaksanakan aturan kerja fleksibel bagi mencapai objektif mereka untuk
menarik, mendorong dan mengekalkan bakat, khususnya tenaga buruh mahir,”
katanya.
Ismail juga mencadangkan agar majikan mengkaji pelbagai bentuk aturan
kerja fleksibel, termasuk perkongsian kerja dalam kalangan pekerja,
bekerja dari rumah, sistem bekerja secara sambilan dan waktu fleksibel.
Sebanyak 100 peserta terdiri daripada wakil kesatuan sekerja,
persatuan majikan dan pertubuhan masyarakat sivil dari negara anggota
ASEAN dan rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan
menghadiri seminar dua hari itu, yang bermula hari ini.
Seminar ini dianjurakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment