Wednesday, September 02, 2015
Selepas Mat Sabu Pergi, PAS Sepatutnya Lebih Fikirkan Perpaduan Ummah
EDITOR MENULIS...
2 SEPTEMBER 2015
Saya
memerhatikan dari jauh. Segala tindak tanduk bekas Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu sering menjadi perhatian saya. Itu bukanlah bermaksud
saya menjadikan beliau sebagai idola, namun kerana dialah saya
menjauhkan diri dari PAS kira-kira 25 tahun yang lalu…
Ketika Mohamad atau lebih dikenali
sebagai Mat Sabu dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PAS, hati saya
sudah terdetik bahawa PAS sedang menuju kehancuran.
Bukan saya seorang saja yang berpandangan
sedemikian, namun rakan-rakan saya yang tegar bersama PAS di Kedah
turut sependapat dengan saya. Kata mereka, Abang Mat hanya akan membawa
PAS ke arah sosialisme dan liberalisme, sekaligus mematikan kepimpinan
ulama…
Kira-kira 25 tahun lalu, saya sering
dibawa arwah ayah ke ceramah-ceramah PAS. Yang paling kerap ialah
ceramah Mat Sabu. Namun pertama kali saya mendengar ceramah maki
hamunnya, hati saya tertutup untuk memperjuangkan PAS.
Dalam ceramah Mat Sabu itu, dia
mengatakan bahawa PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam. Tapi
selepas itu terbit kata-kata mencarut, maki hamun dan caci cerca
terhadap saudara seagama sendiri. Sejak itu, PAS pada saya hanya sebuah
parti politik biasa. Tiada yang istimewa melainkan kepura-puraan
semata-mata…
Kini Mat Sabu bukan lagi pemimpin PAS.
Malah dia kini bukan lagi ahli PAS. Turut diheret bersamanya adalah
beberapa kerat pemimpin PAS yang kecewa akibat kalah bertanding jawatan
di dalam parti.
Pada saya, golongan tersebut tiada apa
yang berkualiti dalam perjuangan mereka melainkan perjuangan untuk
mendapatkan jawatan. Apabila kalah bertanding dan gagal mendapat
jawatan, mereka kecewa, memprotes, menghentam dan menghina, serta
akhirnya keluar parti.
Benarlah bagai dikata Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS berlapang dada bila “syaitan dalam
jemaah” dan konco-konconya itu bertindak keluar dari parti. Tindakan itu
adalah satu gerakan “pembersihan” di dalam PAS. Saya setuju.
Pun begitu, saya masih enggan menyokong
PAS kerana parti itu masih lagi menyumbang kepada pepecahan di kalangan
umat Islam di negara kita.
Sebagai sebuah parti yang kononnya
mendaulatkan Islam sebagai wadah perjuangan, mereka perlu berusaha
menyatu padukan umat Islam di Malaysia, bukan dengan bermufaraqah
mencipta ideologi dan fahaman yang memecah-belahkan ummah.
Saya tidak menyatakan bahawa UMNO itu
sempurna sebagai parti politik. Namun sekurang-kurangnya, UMNO masih
lagi mengutamakan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan tanahair yang
pernah bergelar Persekutuan Tanah Melayu ini.
Malah dari sudut teknikal siyasah negara,
UMNO sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional (BN), masih lagi
merupakan parti dominan yang tradisinya mengetuai barisan kepimpinan
kerajaan berbanding parti komponen yang lain.
Itu adalah berbeza dengan kedudukan PAS
di dalam Pakatan Haram sebelum ini yang sanggup meletakkan diri sehina
“keldai tunggangan”, diperkotak-katikkan DAP dan PKR sewenang-wenangnya
sehingga berlaku pepecahan dalaman PAS yang sangat dahsyat.
Lagipun, dengan pendirian PAS yang kini
bergerak secara solo, mungkin agak berkesan dari sudut “check and
balance” di Dewan Rakyat mahupun DUN. Namun untuk membentuk dasar atau
mentadbir, itu adalah agak mustahil buat masa ini.
Sekiranya PAS benar-benar bijak, mereka akan bertindak mufaraqah secara total dengan DAP mahupun PKR.
Sebagai contoh, PAS perlu menarik diri
dari membentuk kerajaan negeri di Selangor dan bertindak meletak jawatan
dari sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri itu. Seterusnya, ia akan
menyebabkan kerajaan “boneka” DAP itu lumpuh dan tidak layak lagi
menjadi kerajaan.
Seterusnya, PAS boleh berkompromi dengan
UMNO atau BN di Selangor dan membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
Ia sekurang-kurangnya memberi kelebihan kepada PAS untuk dilihat sebagai
satu gerakan menyatu-padukan dua parti terbesar Melayu Islam walaupun
tidak secara total.
Saya tidak memaksa PAS untuk menerima
cadangan saya itu. Terserahlah untuk menerimanya atau tidak. Namun
seikhlas hati saya, mungkin itulah pengorbanan yang dituntut oleh agama
Islam dalam hal ehwal siyasah, sejajar dengan semangat “Tahaluf Siyasi”
yang sebenar.
Bagaimanapun, ia terletak pada keikhlasan
hati PAS. Pada pandangan saya, UMNO atau BN berkemungkinan besar akan
berlapang dada menerima konsep kerajaan campuran dengan PAS. Setahu
saya, sudah lama umat Islam di negara ini nantikan detik-detik itu, kan?
Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment