Thursday, September 03, 2015
Strategi BERSIH 4 Makan Diri !!
Setiap percaturan politik memerlukan strategi yang pintar dan yang
paling kritikal adalah pelaksanaannya mesti disempurnakan pada waktu
yang bersesuaian kerana jika tersilap langkah strategi yang direncanakan
itu bakal memakan diri sendiri.
Itulah nasib yang menimpa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua
Menteri Lim Guan Eng apabila cuba mempamerkan pertembungan kuasa dengan
Kerajaan Persekutuan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan menjadi
taruhan.
Kesilapan Guan Eng adalah mempergunakan semangat patriotik rakyat
Malaysia untuk meraih manfaat politik iaitu strategi yang betul tetapi
tidak kena pada masanya. Sebab itu jugalah mungkin rakan beliau iaitu
Menteri Besar Selangor dan Kelantan tidak turut serta dalam strategi
Pulau Pinang.
Sebab itu agak menghairankan apabila penganjur perhimpunan Bersih 4
tetap berdegil meneruskan rancangan mereka untuk berhimpun di sekitar
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dua hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan
kerana pengajaran daripada episod Pulau Pinang jelas mempamerkan apa jua
tindakan yang menjurus kepada percubaan sabotaj sambutan Hari
Kebangsaan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.
Guan Eng akur bahawa penggunaan tema sambutan berbeza dengan tema rasmi
walaupun dianggap perkara remeh tetapi telah wujud persepsi bahawa
kerajaan Pulau Pinang seakan-akan tidak menghormati kedaulatan negara.
Sebab itu juga sebaik sahaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menarik
diri daripada mengambil bahagian dalam upacara sambutan, Guan Eng dengan
serta-merta membuat keputusan menerima pakai tema sambutan rasmi iaitu
Sehati Sejiwa.
Keputusan yang dibuat oleh ATM bukan berasaskan percaturan politik
kerajaan negeri dan Persekutuan tetapi lebih kepada mempertahankan
kedaulatan negara daripada dicabar.
Mengapa kontinjen ATM menerima tepukan paling gemuruh semasa perbarisan
di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lepas adalah kerana rakyat Malaysia
merasai bahawa kedaulatan negara sedang dicabar dan perhimpunan Bersih 4
telah menguatkan lagi kegusaran rakyat. Hal ini kerana ATM sinonim
dengan kekuatan benteng mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan
negara.
Tidak keterlaluan jika diandaikan apa jua matlamat penganjur Bersih 4
yang menganjurkan perhimpunan yang begitu dekat dengan sambutan Hari
Kebangsaan telah memakan diri sendiri.
Begitu juga dengan mereka yang turut serta dalam perhimpunan tersebut
dengan apa jua alasan, kesemuanya itu tidak tercapai malah masyarakat
memandang serong disebabkan tingkah laku mereka.
Bukan sahaja kumpulan ini dianggap sebagai tidak menghormati tarikh
keramat 31 Ogos, tetapi juga dilabel sebagai kurang ajar, biadab, jijik
serta memualkan seolah-olah kumpulan masyarakat ini tidak mempunyai budi
pekerti yang murni masyarakat timur.
Lebih dikesalkan lagi, apabila ada ibu bapa yang sanggup mempergunakan
anak-anak mereka yang masih kecil berarak dengan poster tertera
perkataan yang lucah demi mencapai objektif politik mereka. Ibu bapa ini
juga sanggup bersama-sama dengan anak mereka bersekongkol mempromosikan
aktiviti ala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Bertambah parah apabila sebahagian besar mereka yang turut serta dalam
perhimpunan kali ini hanya terdiri daripada satu kaum sahaja iaitu
masyarakat Cina sedangkan penganjur melabelkan Bersih 4 sebagai
perhimpunan rakyat.
Berbeza sekali apabila buat pertama kali perhimpunan Bersih dianjurkan
pada 2007 sebahagian besar kumpulan masyarakat yang terlibat adalah
bangsa Melayu.
Ada pihak yang menolak andaian keputusan pilihan raya umum (PRU) 2013
sebagai peralihan citarasa pengundi Cina atau pun lebih dikenali sebagai
‘tsunami pengundi Cina’ kerana bagi kumpulan ini mereka lebih berpegang
kepada ungkapan ‘tsunami pengundi bandar’.
Kumpulan ini lebih percaya kepada andaian perubahan citarasa pengundi
adalah dipelopori oleh pengundi bandar yang terdiri daripada pelbagai
kaum.
Tetapi jika diteliti komposisi peserta Bersih 4 sukar untuk menafikan
sebahagian besar mereka tinggal di Lembah Klang. Jika dikaitkan dengan
beberapa matlamat perhimpunan Bersih 4 seperti tuntutan pilihan raya
yang adil dan telus, kerajaan yang lebih telus dan memperkukuhkan sistem
demokrasi Malaysia kesemuanya itu adalah selari dengan tema kempen
pembangkang ketika PRU 2013.
Beberapa andaian keputusan PRU 2013 terutama sekali berkaitan dengan
citarasa pengundi Cina sebenarnya telah disahkan oleh Bersih 4.
Terdapat desas-desus bahawa perhimpunan Bersih 5 akan diadakan kerana
apa yang pasti matlamat Bersih 4 tidak tercapai malah telah memberi
persepsi buruk kepada mereka yang terlibat.
Tetapi penganjur utamanya Maria Chin tetap berdegil untuk meneruskan
agenda perhimpunan haram selagi tidak tercapai matlamat utama mereka
untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Nampak gayanya Maria Chin masih tidak mahu menerima hakikat bahawa
perhimpunan ala Bersih telah merosakkan keharmonian masyarakat berbilang
kaum. Apa yang penting bagi dia adalah matlamat politik sekutunya mesti
dicapai walaupun secara tidak sah dan boleh memudaratkan negara.
Apa yang pasti juga adalah kesan terhadap beberapa pemimpin utama yang
turut bersama memberi sokongan kepada Bersih 4 adalah begitu negatif
sekali. Paling ketara kehadiran Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB)
Mohamad Sabu telah memberi kesan tidak baik terhadap Parti Amanah Negara
(PAN).
Bukan sahaja PAN diasaskan daripada Parti Pekerja yang lebih condong
kepada fahaman sosialis dan kiri tetapi kini PAN dikaitkan pula dengan
tingkah laku kurang ajar dan jijik peserta Bersih 4 sedangkan PAN
seperti yang dicanang oleh Mohamad Sabu adalah parti politik wadah
Islam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment