Wednesday, September 02, 2015
Syabas..... Akta Pencegahan Keganasan 2015 Berkuatkuasa Semalam
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan
Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) berkuat kuasa secara rasmi hari
ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan POTA itu selaras dengan pembentangan
Kertas Putih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26
November 2014 bertajuk ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan
Islamic State’ di Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, susulan daripada
itu, kerajaan telah pun membentangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015
[Akta 769] di Parlimen pada sesi Mac 2015 lalu, yang boleh digunakan
pihak berkuasa bagi memastikan tiada individu yang terlepas daripada
sebarang tindakan perundangan sekiranya melibatkan diri dalam perbuatan
keganasan.
“Akta 769 tersebut telah pun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan berkuatkuasa secara rasmi pada 1
Sept 2015,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata dalam penggubalan akta itu, terdapat satu undang-undang
baharu yang turut digubal di samping beberapa pindaan selari yang dibuat
terhadap empat undang-undang sedia ada.
Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan untuk memastikan undang-undang
tersebut benar-benar mantap dan komprehensif agar anasir-anasir ini
tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Katanya, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara
2015 [Akta 770] (SMATA) iaitu undang-undang baharu yang membenarkan
Ketua Pengarah Imigresen menggantung atau membatalkan dokumen perjalanan
yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia, yang terlibat dalam
organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di
mana-mana bahagian sesuatu negara asing.
Beliau berkata, menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan suatu perintah
menuntut penyerahan dokumen perjalanan asing milik seseorang bukan
warganegara Malaysia, yang terlibat dengan pengganas di sesuatu negara
asing, dan diserahkan kepada polis serta ditahan 14 hari untuk proses
siasatan.
Katanya, empat pindaan selari tersebut adalah Kanun Keseksaan (Pindaan)
2015 (KK); Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan)
2015 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan Akta
Penjara (Pindaan) 2015.
“Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015
(SMATA), Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK) dan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA) telah pun
dikuatkuasakan pada 15 Jun 2015,” katanya.
Beliau berkata, Akta Pencegahan Keganasan 2015 ini dikuatkuasakan
bersekali dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara
(Pindaan) (No.2) 2015 iaitu pada 1 September 2015.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment