Kemelut antara PAS
dan GHB masih lagi berstatus “tarik tali”, sungguhpun GHB jelas untuk
mufaraqah dari PAS. Pada pengamatan saya, PAS sendiri dilihat
berhati-hati dalam kemelut ini, yang bertujuan untuk keluar menjadi
pemenang pada akhirnya.
Lafaz baiah, tertalak tiga pada isteri,
dan gugurnya status sebagai ahli parlimen atau ahli dewan undangan
negeri adalah “amanah” yang diberikan, dan disanggupi oleh kader-kader
GHB sewaktu mahu bertanding atas tiket PAS pada PRU yang lalu.
Apakah erti “amanah” jika bukan memegang
janji yang dipatri? Kecuali ianya terpaksa kerana ada ancaman ke atas
keselamatan mereka yang sanggup memegang janji tersebut. Apakah pistol
diacukan ke kepala mereka sewaktu baiah itu dilafazkan? Apakah mereka
dipaksa tanpa rela? Rasanya, nikmat menang PRU sebagai ahli parlimen
atau ahli dewan undangan negeri yang menjadi motivasi terkuat mereka
rela dan redha dengan apa yang dilafazkannya. Bukankah begitu?
YB Dr. Mariah, ahli parlimen Kota Raja
sebelum ini pernah berkata bahawa kemenangannya adalah atas dasar faktor
persepakatan Pakatan Rakyat, dan bukannya PAS semata. Kenyataan ini
tidak satu pun disanggah oleh mana-mana sekutu beliau di dalam GHB. Ini
bermakna mereka bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh YB Dr. Mariah.
Apabila Parti Amanah Negara dilancarkan
pada 16 September nanti, secara automatis GHB sudah berpatah arang,
berkerat rotan terhadap PAS. Bolehkah mereka hidup bermaruah kerana
kemenangan mereka sebelum ini adalah atas tiket rasmi PAS?
Tidak lagi bersama PAS, memungkiri janji
dan amanah yang dilafaz sewaktu berbaiah, tetapi masih menikmati elaun
wakil rakyat yang dimenangi atas platform PAS.
Halal atau haram elaun itu untuk diambil oleh mereka?
Sebaiknya YB Dr. Mariah membuktikan
kata-katanya bahawa faktor PAS bukan penentu kemenangannya pada PRU yang
lalu. Maka, jika masih ada sifat “amanah” dan saki baki maruah selaku
seorang pimpinan yang menempa nama atas tiket PAS, Dr. Mariah dan
sekutu-sekutunya seperti Khalid Samad, Saari Sungib dan lain-lain perlu
meletakkan jawatan selaku ahli parlimen mahu pun ADUN.
Bukalah gelanggang, agar gendang dipalu, biar rakyat yang jadi penentu.
Sekadar pesanan buat diri sendiri, dan kepada anda semua. Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda orang munafik itu ada tiga: (1)
Apabila berkata ia berudsta, (2) apabila ia berjanji ia mengingkari, dan
(3) apabila diberi amanah ia berkhianat.”
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam
juga menyebutkan bahawa amanah sangat berkait rapat dengan keimanan,
baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ
“Tidak ada keimanan bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah.”
Alhamdullillah… kita bakal ada pula Parti Amanah Negara tidak lama lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment