Tapi dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin mendakwa SOSMA telah disalahguna oleh pihak berkuasa terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dan peguamnya, Matthias Chang, yang ditahan atas dakwaan cuba sabotaj sistem kewangan negara dan perbankan Malaysia.
Maksud Muhyiddin itu, beliau mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menyalahguna SOSMA terhadap kes penahanan Khairuddin dan Matthias yang dipercayai merupakan 'bidak catur' kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Saya pelik. Apakah Timbalan Presiden UMNO itu tidak membaca laporan akhbar atau menonton berita di kaca televisyen sehingga terlepas pandang tentang kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali tentang fakta sebenar penahanan dua individu tersebut?
Dalam kenyataan Peguam Negara itu, beliau menegaskan bahawa Khairuddin dan Matthias tidak ditahan di bawah SOSMA, sebaliknya di bawah peruntukan Seksyen 124L Kanun Keseksaan.
"Saya ingin menjelaskan bahawa pendakwaan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang adalah di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj sistem kewangan negara dan perbankan Malaysia.
"Tindakan ini bagi menjawab persoalan yang dikemukakan menerusi laporan media semalam yang mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan SOSMA bagi menahan Khairuddin dan Matthias," tegas Mohamad Apandi sebelum ini.
Jadi, jelaslah bahawa SOSMA tidak mempunyai sebarang kena mengena dengan penahanan Khairuddin dan Matthias. Maka jika SOSMA tidak digunakan pun dalam kes berkenaan, bagaimana pula akta tersebut hendak disalahguna sebagaimana yang didakwa Muhyiddin?
Terbaru, khabar angin mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Shafie Apdal akan membuat laporan polis terhadap 1MDB, di mana ia akan dilakukan serentak di IPD Putrajaya, Dang Wangi dan Brickfield pada 16 Oktober ini.
Sekiranya desas-desus itu benar, timbul pertanyaang di fikiran saya tentang apakah ketiga-tiga pemimpin UMNO itu masih lagi yakin dan percaya pada PDRM setelah mereka menuduh pihak berkuasa itu dengan tohmahan salahguna kuasa baru-baru ini?
Mereka dakwa PDRM telah dicemari salah guna kuasa, tapi mereka mengadu pada pihak yang dikatakan salahguna kuasa itu? Maksudnya mereka masih lagi percaya pada kreadibiliti PDRM, bukan?
Nampak sangat mereka membuat pertuduhan berpilih. Mana yang menyebelahi mereka, maka mereka anggap PDRM telus. Tapi mana yang merugikan mereka, maka tanpa rasa malu mereka cacatkan kredibiliti PDRM di mata masyarakat? Adilkah begitu?
Sedangkan, kita semua tahu bahawa PDRM sememangnya sedang menyiasat secara terperinci tentang 1MDB. Malah untuk menjernihkan keadaan, Najib telah mengarahkan banyak pihak untuk menyiasat 1MDB termasuk PAC dan Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh pelbagai agensi bebas bagi menjamin ketelusan penyiasatan.
Jadi, untuk apa lagi laporan polis dibuat terhadap 1MDB? Atau laporan polis itu sengaja dibuat untuk mencetus kontroversi dan menaikkan nama sendiri? Bersungguh-sungguh benar Muhyiddin mahu jatuhkan Najib menerusi 1MDB, bukan?
Kesungguhan Muhyiddin itu membuat saya terkenang pada kenyataan beliau yang sebelum ini berikrar akan memperteguhkan UMNO dan kepimpinan Najib dalam sidang media yang berlangsung selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Apakah itu yang dikatakan 'memperkukuh' dalam kenyataan Muhyiddin itu? Atau ia hanyalah satu lagi kenyataan retorik dari 'api dalam sekam' yang mahu menjadi Presiden dan Perdana Menteri secara 'ekspress' dengan kaedah 'tikam belakang'?
Saya tahu bahawa bangsa Melayu sememangnya pantang dengan agenda khianat atau 'tikam belakang'. Selalunya individu seperti itu dilabel sebagai 'si kitul'. Saya harap, Muhyiddin tidak menjadi 'si kitul moden'. Tapi jika benar beliau mahu jadi 'si kitul', maka hilanglah rasa hormat kita semua nanti pada beliau..

No comments:
Post a Comment