Sunday, October 18, 2015
Benarkah Kelantan Makin Teruk Selepas Nik Aziz Tiada?
Asalnya masalah guru-guru YIK tidak dlalam senarai saya untuk dibangkitkan.
Selepas serombongan guru YIK datang mengadu hal kepada saya, saya
terpaksa mengubah fikiran. Saya terkejut melihat jumlah tunggakan
potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru sudah meningkat kepada RM
14.6 juta hingga September 2015!
Gaji guru dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK
tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi berkenaan. Ia menjadi
tertunggak.
Bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun
2014! Sehingga September 2015, jumlah tunggakan caruman guru-guru
kepada Koperasi Maik sahaja sudah berjumlah RM 5,188,381!
Ia menimbulkan banyak kerumitan kepada guru-guru pencarum dan koperasi
juga. Tidak perlu untuk saya menyenaraikan semuanya di sini. (Saya
bersangka baik MB dan TMB sudah pun membaca masalah dan kerumitan yang
ditanggung oleh guru dan koperasi hasil berlakunya tunggakan)
Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji,
KWSP - semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak.
Senarainya terlalu panjang.
Ia nampak serius. Ia menyusahkan guru-guru terbabit dalam banyak segi. Ia menggambarkan kedudukan kewangan negeri yang tenat.
Jika benar kewangan kerajaan negeri tenat, apa patut dibuat oleh
pimpinannya? Terus boros? Membazir? Bersuka hilai ke luar negara?
Menjual aset negeri di bawah nilai pasaran?
Seminggu dua yang lalu, mudir YIK di bawa melawat Indonesia. Saya tidak
berhasrat mengkritik para mudir atas lawatan ini kerana mereka
mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan.
Saya tertanya apa perlunya Exco dari portfolio lain dan Speaker turut
sama? Bukankah itu memakan belanja? Jika belanja itu dijimatkan, sedikit
sebanyak ia boleh menampung caruman yang tertunggak itu.
KE (Ketua Eksekutif) sebuah agensi baru pulang dari lawatan ke Moscow,
selepas seminggu dua sebelumnya melawat Afrika Selatan. Mudah-mudahan
ada pelaburan dari Rusia dan untungnya boleh menampung tunggakan itu?
Cuba lihat negara mana lagi yang tidak dilawatinya? Di tengah tukaran
wang menjunam, 14 orang anggota kerajaan baru-baru ini melawat Jepun.
Kalau Tok Guru masih hidup, saya yakin seratus peratus lawatan itu tidak
akan diluluskan.
Mana lebih mustahak, antara lawatan ke Jepun atau menjelaskan tunggakan
caruman? Pemuda parti kerajaan baru-baru ini mengadakan himpunan 10k di
Pasir Puteh. Katanya tiga exco masing-masing menyumbangkan RM 100 ribu.
Maknanya RM 300 ribu paling tidak, wang kerajaan hangus. Jika RM 300
ribu itu didahulukan kepada YIK?
Saya tidak tahu berapa pula wang yang dibelanjakan untuk pelbagai himpunan yang lain sehari dua ini.
Adakah anda tidak terasa malu dan segan dengan diri sendiri?
Husam Musa
Adun Salor
4 Muharam 1437/17 Oktober 2015
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment