Wednesday, October 21, 2015
Kerajaan Mungkin Hapuskan Lebih 1.6 Juta Saman AES?
SHAH ALAM : Kerajaan berkemungkinan akan menghapuskan lebih 1.6 juta
kesalahan trafik yang dikeluarkan menerusi Sistem Penguatkuasaan
Automatik (AES) tidak lama lagi, lapor The Sun Daily hari ini.
Laporan itu yang memetik sumber berkata, difahamkan pihak berkuasa akan
menggugurkan caj yang belum selesai terhadap pesalah dan melupuskan
kira-kira setengah billion ringgit denda yang dipungut daripada saman
AES sejak September 2012.
Ia juga melaporkan kerajaan sedang bersedia untuk menggugurkan kesalahan
yang dirakam oleh AES pada peringkat perintis dalam usaha untuk
bergerak ke fasa kedua.
"Tindakan di bawah peringkat pandu dibelenggu oleh masalah teknikal yang
timbul daripada proses pengumpulan bukti yang tidak dilakukan oleh
pegawai penguat kuasa," kata sumber berkenaan.
"Pihak pertama di pusat kawalan AES yang mengumpul gambar-gambar
resolusi tinggi berkaitan dakwaan kesalahan trafik , adalah kakitangan
syarikat swasta.
"Peranan pihak pertama untuk mengumpul bukti itu sepatutnya (dijalankan)
oleh polis atau pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
dan bukan sepatutnnya kakitangan swasta. Inilah punca undang-undang
terhalang," lapor portal berkenaan memetik sumber.
Untuk rekod, kesalahan yang dirakam oleh kamera AES 'digantung buat
sementara waktu' sejak Disember 2012 atas alasan teknikal oleh Jabatan
Peguam Negara.
Dilaporkan juga kes-kes yang 'dibekukan' di mahkamah dikenalpasti
sebagai penghalang kepada pelaksanaan fasa kedua AES yang akan
dijalankan oleh agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.
"Jumlah besar kes-kes mahkamah yang tertunggak di bawah AES fasa pertama
seperti 'beban' kepada kerajaan. Kita perlu menghapuskannya sekarang
untuk mengelakkan AES menjadi sebuah 'kapal tenggelam'," petik kata
seorang pegawai kanan kerajaan.
"Pelaksanaan AES kedua meliputi 350 lokasi pada suku pertama 2016, akan
menjadi seperti membuka halaman baru. Kali ini kerajaan akan
melaksanakannya dengan betul," kata pegawai itu lagi.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad bagaimanapun dilaporkan
berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung
dengan kes AES yang masih belum selesai.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment