Sunday, October 18, 2015
Orang Masjid, Janganlah Sombong...
Tempatnya di pekarangan sebuah masjid. Acaranya ialah majlis sempena
Hari Raya. Tujuannya sudah pasti suci, tulus lagi murni untuk
mengeratkan silaturahim sesama anak kariah.
Ada ironi yang terjadi. Saya hadir berseluar jeans, berkemeja lengan
panjang sebagaimana kebiasaan. Selepas itu, rancangnya mahu penuhi
jemputan yang lain pula. Maka tidaklah saya berkopiah atau berjubah
sebagaimana kebanyakan hadirin lain.
Ada pun ceritanya, ketika saya berbual dengan beberapa rakan, datang
seseorang yang berkopiah berjabat tangan dengan semua yang ada, kecuali
saya. Tertanya-tanya oleh saya mengapa dikecualikan. Seingatnya, saya
tidak pernah pun ada apa-apa masalah dengan dia, malah apa yang lebih
mungkin, saya percaya dia tidak pun mengenali saya.
Mungkin kerana pakaian saya agaknya, yang tidak seperti orang masjid. Namun wajarkah kerana itu saya diperlakukan sedemikian.
Walaupun ini mungkin kes terpencil yang peribadi sifatnya, daripada
pengalaman saya, memang ada sesetengah orang masjid yang berasa diri
mereka lebih Islam daripada orang lain. Tidak jadi masalah jika
keislaman itu ditunjuk melalui penampilan kerana itu sememangnya sunnah
Rasul namun yang jadi masalah jika imej yang begitu indah, ditunjukkan
sebaliknya pada sikap sombong, riyak dan memandang rendah pada orang
lain.
Itulah apa yang saya rasakan pada masa itu, terhina dan tersinggung.
Namun apa yang lebih membuat saya berasa sedih sebenarnya ialah kerana
yang terlibat itu berpenampilan Islam, imej suci Islam turut sama
terpalit oleh perlakuan orang yang seperti itu.
Semua kita tahu, Islam melarang keras sikap sombong. Banyak ayat
al-Quran menegaskan tentang ini, dah hadis Nabi pula ada menyebut,
"tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sikap sombong
waima seberat biji sawi."
Bagaimana jika yang jadi mangsa dalam situasi seperti ini orang bukan
Islam. Adakah mereka hanya akan menyalahkan orang itu seperti kita atau
menuding kepada Islam secara keseluruhan?
Kerana itulah, setiap kali berbicara mengenai akhlak negatif yang
tersembunyi, pertimbangan saya sering diselubungi kebimbangan. Seseorang
kaki maksiat, jika ditanya mengenai perbuatannya, saya percaya dia akan
mengaku apa yang dilakukan itu maksiat dan berdosa.
Ini memungkinkan suatu hari nanti dia akhirnya akan insaf dan bertaubat juga.
Namun jika melibatkan orang agama, ada kemungkinan dia akan tersesat dan
dikelirukan oleh penampilan dirinya sendiri yang kelihatan seperti
tiada dosa, seolah-olah syurga telah terjamin untuknya sedangkan kita
tahu, amal ibadah orang yang sombong tiada nilai di sisi ALLAH, malah
tempatnya adalah neraka. Saya tidaklah menuju ayat ini kepada orang yang
tidak bersalam dengan saya itu tetapi suatu penegasan mengenai banyak
amaran ALLAH dalam al-Quran.
Itu juga bukanlah satu-satunya pengalaman saya dengan orang masjid.
Tidak lama dahulu, saya sertai kumpulan Facebook masjid untuk mengikuti
jadual kuliah selain menambah ilmu melalui diskusi ahli-ahli jemaah.
Malangnya, apabila saya lontarkan satu soalan di 'wall', datang
seseorang - berkopiah juga - yang tidak pun saya kenal menyindir:
"Soalan macam tu, budak darjah 6 pun boleh jawab."
Saya pun membalas: "Maafkan saya tuan, saya sekolah setakat darjah 5, tak sampai darjah 6..."
Sudah orang loyar buruk, saya pun loyar buruklah juga. Barang kali tidak
menyangka respons saya yang begitu, dia cuba mengendurkan keadaan:
"Saudara tanya itu pada orang yang salah ..."
Dan saya membalas lagi: "Walaupun saya tak bersekolah tinggi, mak bapak
saya ajar saya bersangka baik pada semua orang, pandang setiap orang
lebih daripada saya, sebab itu saya tanya ... tak sangkalah pulak di
sini tanya pun jadi kesalahan."
Selepas itu, saya terus keluar daripada Facebook mereka. Sebelum itu,
saya sempat berhubung dengan pentadbir Facebook itu menyatakan kekesalan
saya. Jika beginilah sikap orang masjid, bagaimanakah agaknya mereka
mahu mengajak lebih orang mengimarahkan rumah ALLAH. Orang tidak datang
ke masjid, dikata, diumpat dan dicerca. Elok orang datang hendak
bermesra, disombong-sombongkan pula.
Sudah elok jadi orang masjid, akhlak kenalah jaga. Biarlah selari dengan
apa yang dipakai. Jangan tempah dosa berganda-ganda. Sudah elok
berpakaian Islam, kalau akhlak tidak dijaga nanti jadi fitnah pada
agama. Kalau orang seperti saya, buat maksiat, orang hanya mengata saya.
Tetapi orang berkopiah, berjubah jika buruk perangainya, itu mengundang
fitnah pada agama.
Seorang alim yang saya rujuk mengenai hal-hal yang seperti ini
mengingatkan: "Kalau orang agama begitu akhlaknya, begitu sombongnya ...
ingatkan dia untuk periksa siapa yang sebenarnya dia sembah, ALLAH atau
ego dirinya sendiri?" Jawablah sendiri!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment