Thursday, October 08, 2015
Pelarian Syria : Keutamaan Kepada Profesional Dan Separa Mahir
WASHINGTON DC : Malaysia akan mengutamakan pelarian
Syria daripada kumpulan profesional atau separa mahir dalam pengambilan
yang akan dilakukan secara berperingkat selama tiga tahun, kata Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Dalam Negeri sedang merangka prosedur bagi pengambilan 3,000 pelarian Syria.
“Ini adalah komitmen Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” kata
Ahmad Zahid sebagai susulan kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk menerima 3,000 pelarian Syria, semasa berucap
pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di
New York 1 Okt lepas.
Sambil mengimbas dalam ucapannya mengenai mayat Alyan Kurdi berusia
tiga tahun terdampar di pantai, Najib berkata masyarakat dunia tidak
seharusnya berpeluk tubuh dan melihat sahaja masalah orang pelarian ke
merata negara Eropah sekarang.
Dianggarkan lebih empat juta penduduk Syria menjadi orang pelarian
kerana melarikan daripada perang saudara yang berlaku di negara itu.
Ahmad Zahid juga berkata komitmen Malaysia kali ini jauh lebih
besar berbanding yang pernah dilakukan semasa perang di negara-negara
Balkan apabila negara ketika itu menerima 200 orang mangsa perang dari
Bosnia Herzegovina.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia
sebaik sahaja memulakan lawatan kerja beliau ke pusat petadbiran Amerika
Syarikat Rabu.
“Lawatan kali ini adalah atas jemputan kerajaan Amerika Syarikat,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Semasa di sini, beliau akan menandatangani dokumen Arahan
Presiden Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6) bersama Setiausaha Negara AS
John Kerry, yang merupakan antara prosedur terakhir bagi membolehkan
Malaysia diterima sebagai negara ke-39 dalam program pengecualian visa
untuk melawat Amerika Syarikat.
Pengumuman mengenainya dijangka dibuat semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia yang dijadual bulan depan.
Menurut Ahmad, jika visa dikecualikan, ia terpakai kepada semua
golongan rakyat Malaysia yang layak berkunjung ke Amerika Syarikat.
Katanya, Malaysia sudahpun mematuhi sebahagian besar senarai semakan
ke arah mendapatkan pengecualian visa tersebut, cuma keperluan tahap
penolakan permohonan visa hendaklah tidak melebihi tiga peratus
berbanding sekarang berada pada tahap 4.2 peratus.
Tetapi, menurut Ahmad Zahid, keadaan ini lebih bersifat teknikal
yang berkait dengan kefahaman semasa mengisi borang permohonan, dan
bukannya isu keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkara ini boleh diatasi dengan
baik hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala
Lumpur dengan mengadakan program kesedaran kepada ejen pelancong dan
orang ramai berhubung prosedur permohonan visa.
Semasa lawatan Ahmad Zahid, yang merupakan kali ketiga dalam tempoh
setahun sejak Oktober tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri dijadual
mengadakan beberapa perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa di
Washington seperti Jabatan Negara, Jabatan Keselamatan Negara serta
badan-badan seperti Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) dan Biro
Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Semasa lawatan hari pertama, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan
dua agensi perisikan utama Amerika Syarikat iaitu CIA dan FBI.
Timbalan Perdana Menteri berbincang secara berasingan dengan Pengarah
CIA, John O Brennan dan Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Guilano antaranya
mengenai aspek kerjasama menangani ancaman keganasan, keselamatan siber
dan jenayah siber termasuk jenayah rentas sempadan.
Selain pertukaran maklumat dan risikan, Ahmad Zahid berharap pihak
Amerika dapat berkongsi dengan agensi penguat kuasa Malaysia dari segi
aspek perisian dan latihan menangani jenayah siber dan keselamatan
siber.
Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan akan dibuat kepada
perundangan sedia ada untuk memantau ruang siber dan media sosial di
Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri juga mempelawa pihak CIA dan FBI untuk
menghadiri Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada 21-22 Okt
depan serta Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi pada bulan
Januari.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment