Thursday, October 08, 2015
Tarif Elektrik Kekal Ssehingga Tahun Depan
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Tenaga memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan kadar tarif elektrik sehingga 2016.
Pengerusinya, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, berdasarkan kajian
dan pengiraan kos penjanaan dan pembahagian elektrik, kadar tarif itu
akan kekal sehingga tahun depan.
“Selaku suruhanjaya yang mengawal selia Tenaga Nasional Berhad (TNB),
tarif elektrik ini ditentukan secara munasabah dengan melihat setakat
mana kemampuan TNB dan rakyat untuk menanggung kosnya.
“Pada masa ini tarif akan dikekalkan dan tidak akan berlaku kenaikan
sehingga tahun depan, selepas itu kita akan semak balik kos penjanaan
dan pembahagian sebelum membentangkan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat
Pegawai Kanan Tenaga (SOME) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN
Mengenai Tenaga Ke-33 dan Mesyuarat Berkaitan (AMEM Ke-33), semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kadar tarif elektrik negara antara yang termurah dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Tarif elektrik kita agak murah berbanding negara seperti Singapura dan
Filipina, namun lebih kurang dengan Thailand, tetapi Indonesia lebih
murah,” katanya.
Menjelaskan berhubung mesyuarat berkenaan, Abdul Razak memberitahu,
antara perkara yang dibincangkan adalah untuk mencari kaedah terbaik
bagaimana untuk mengoptimumkan keseimbangan penggunaan tenaga khususnya
bagi gas asli, hidro, arang batu dan tenaga diperbaharui.
“Kita tahu tentang kesan persekitaran sekiranya menggunakan arang batu
tetapi kita boleh seimbangkan dalam memastikannya tidak membawa kepada
kesan rumah hijau.
“Justeru kita perlu melakukan kepelbagaian supaya kita tidak terlalu
bergantung kepada satu sumber sehingga menjejaskan bekalan tenaga,”
katanya.
Jelasnya, peratusan kebergantungan Malaysia terhadap tenaga adalah pada
kadar 45 peratus bagi gas asli, 45 peratus arang batu, enam peratus pada
hidro dan selebihnya terhadap tenaga diperbaharui,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment