Saturday, October 17, 2015

UMNO Sudah Lama Tolak 'Ideologi' Saifuddin - Azizudin

SHAH ALAM : Ideologi dan pemikiran Datuk Saifuddin Abdullah sudah lama ditolak ahli serta pimpinan Umno.

Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata hal itu dapat dilihat menerusi kegagalannya mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan dan jawatannya dalam parti.

Justeru tindakan keluar parti dan menyertai parti pembangkang adalah jalan terakhir yang boleh diambil Saifuddin bagi membolehkan beliau meneruskan hayatnya dalam arena politik negara, ujar Azizuddin.

"(Datuk) Saifuddin pun dilihat sebelum ini agak cenderung menyokong pendekatan dan dasar Pakatan Rakyat sebelum ini. Kalau dilihat dalam UMNO sendiri pun, beliau telah ditolak di peringkat bahagian sebelum ini ada persaingan antara beliau dan Exco Kerajaan Negeri Pahang (Datuk Sharkar Shamsudin) dan Ketua Bahagian Temerloh yang menyebabkan beliau disisihkan."

"Atas dasar itu beliau pun kalah di Parlimen Temerloh, dan dalam Majlis Tertinggi pun ada penolakan terhadap dia, dari segi itu beliau sudah mula ditolak dalam Umno menyebabkan beliau menunggu masa untuk berhijrah dan terbukti berhijrah akhirnya," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Bagaimanapun, Azizuddin berkata kemasukan Saifuddin dalam PKR akan membawa nilai tambah terhadap parti tersebut berikutan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan anak muda.

"Dia boleh membantu dalam konteks PKR yang memerlukan lebih ramai pemimpin muda sebab Saifuddin ini kekuatan dia boleh menarik belia dan ada sokongan dari kalangan belia, jadi itu mungkin digunakan PKR untuk memastikan golongan belia tertarik dengan PKR.

"PKR tahu kemenangan mereka (Pakatan Harapan) pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang disebabkan oleh pengundi baru da muda, dijangkakan dalam 6 juta pengundi baru mendaftar untuk PRU akan datang, jadi itulah stateginya bawa masuk Saifuddin, sebab dia ada tarikan kepada orang muda dan gunakan dia," katanya lagi.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata penyertaan Saifuddin memberi suntikan baru kepada PKR.

Pun begitu, Azizuddin berkata, penghijrahan Saifuddin tidak langsung menjejaskan Umno.

"Perubahan besar tidak ada yang akan melibatkan Umno dan PKR, sebab Saifuddin bukan pemimpin utama dalam Umno dan walaupun dia agak popular di kalangan orang muda yang jelas menerima pendekatan politik beliau.

"Tidak beri impak sekiranya keluar, tidak beri impak yang besar kepada Umno sehingga perpecahan dalam Umno, saya tidak nampak itu berlaku," ujarnya.

Pengerusi Lembaga Displin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata Umno tidak akan sesekali memaafkan perbuatan Saifuddin itu yang secara tiba-tiba meninggalkan parti.

"Bukan sahaja keluar parti tetapi tindakan ini dibuat cara umum dan di hadapan media. Dia nak keluar, keluarlah," katanya memetik isu ini di dalam media.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment