Friday, October 16, 2015

Waspada Penyebaran Maklumat Di Media Sosial – Salleh

LABUAN : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak mengingatkan masyarakat agar sentiasa menilai dengan penuh berwaspada apa jua maklumat yang diterima dan disebarkan melalui pelbagai medium media sosial. 

Beliau berkata pembangunan teknologi masa kini membolehkan penyebaran maklumat menjadi lebih pantas dan tiada batasan.

“Ada sebilangan masyarakat yang terpengaruh dan percaya dengan penyebaran maklumat yang kita sendiri tidak pasti kesahihan dan sumbernya,” katanya kepada pemimpin Komuniti 1Malaysia (K1M) Labuan dalam majlis ramah mesra di sini malam tadi.
http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2014/08/Salleh-Said-Keruak.jpg
Salleh berkata berikutan kekukuhan asas ekonomi negara menyebabkan ada pihak yang berkepentingan cuba mengganggu-gugat kestabilannya dengan menyebarkan maklumat yang tidak betul.

Katanya arahan telah dikeluarkan kepada agensi di bawah KKMM untuk berperanan lebih berkesan dalam memberi penjelasan kepada masyarakat tentang dasar kerajaan. 

“Sebaiknya, pembangunan dan kecanggihan teknologi dalam penyebaran maklumat melalui internet digunakan untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan seperti mana diamalkan di negara lain, dan bukannya untuk kejahatan,” katanya. 

Salleh berkata adalah penting untuk masyarakat kini beralih arah kepada ekonomi digital melalui aplikasi teknologi maklumat yang terbukti boleh membantu meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya kini memberi penekanan dan penumpuan kepada prasarana untuk penembusan dan kelajuan liputan internet.

Katanya kerajaan kini berusaha untuk memastikan kemudahan akses internet dipertingkatkan untuk dinikmati oleh masyarakat luar bandar.

“Beberapa perkara yang menjadi perhatian kementerian, bukan sahaja penekanan kepada kelajuan tetapi juga kemampuan masyarakat. Selain itu kita juga memberi perhatian kepada liputan, ini kerana Malaysia adalah negara yang luas.

“Kita tidak mahu kemudahan internet ini hanya dinikmati di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang tetapi kita juga mahu memastikan masyarakat di pulau-pulau di Sabah turut menikmatinya,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment