Friday, January 29, 2016

Negara Tidak Berada Dalam Kegawatan, KDNK Disemak Semula Kepada 4-4.5 Peratus

PUTRAJAYA : Malaysia bukannya berada dalam kegawatan ekonomi atau pun kemelesetan teknikal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Ini kerana, katanya, bukan Malaysia sahaja yang mengalami cabaran ekonomi, tetapi beberapa negara lain juga.

“Trend ini membuktikan, kita tidak bersendirian menghadapi cabaran ekonomi global. Negara lain juga turut menerima kesan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Najib berkata, ekonomi global dijangka lebih mencabar pada 2016 di mana data IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.
PUTRAJAYA, 28 Jan -- Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. -- fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA ?
Selain itu, perdagangan dunia dijangka menyusut,daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China dijangka berkembang lebih perlahan.

“Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2016 kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong,” kata beliau.

Menurut Najib, harga minyak mentah dunia terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.

Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada hasil negara.

Malah, ekonomi negara-negara pengeluar minyak turut terjejas, kata Najib.

Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding mata wang lain. Antara mata wang tersebut ialah real Brazil, negatif 23.2 peratus, renminbi China, negatif 5.7 peratus, dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan dolar Singapura, negatif 5.6
peratus.

Sementara itu, nilai ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus, iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.

“Hakikatnya ringgit kini di nilai rendah daripada yang sewajarnya, sehingga tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara.

“Oleh itu, ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran kewangan global kembali stabil dan harga minyak kembali kepada paras lebih munasabah,” kata beliau.

Di antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri ialah pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu dengan pendapatan bulanan RM8,000 dan ke bawah bagi tahun taksiran 2015, sumbangan pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak tiga peratus.

Najib berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corp akan meningkatkan program peringkat pertengahan dan ‘Go-Export’ dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa di samping menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan melaksana inisiatif merapatkan jurang di antara pengurusan tinggi dan pekerja.

Bagi projek infrastruktur dan pembangunan pula, projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Lembah Wawasan Malaysia, Pusat Bandaraya Siber, Rapid Pengerang dan kereta api laju akan diteruskan.

Menurutnya, inisiatif ini amat penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama dapat melindungi kebajikan rakyat.

“Saya pasti secara bersama kita akan berjaya mengharungi cabaran ekonomi ini sekali lagi,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment