Tuesday, January 26, 2016
Agama Ibarat Bom Jangka Bila Disalah Guna Untuk Politik – Sultan Perak
IPOH : Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah, agama
ibarat bom jangka yang mampu mencetuskan porak-peranda, jika
disensasikan untuk tujuan politik.
Baginda bertitah, peranan agama amat suci, namun adakalanya ia
dinodai pihak yang kurang memiliki hikmah, dengan cuba menyelitkan
nilai, prasangka serta agenda peribadi, bagi menjuarai dan mensensasikan
sesuatu isu.
“Apabila agama diguna selain daripada tujuan menyemai roh ketuhanan,
apa lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, agama adalah
bom jangka yang amat kuat letupannya, berpotensi mencetuskan
porak-peranda dan mala petaka,” titah baginda.
Sebaliknya, baginda bertitah, agama apabila difahami sepenuhnya,
merupakan instrumen penyatuan dan keadilan, selain dapat melahirkan
masyarakat baik yang memiliki roh dan kekuatan dalaman serta sifat
kehambaan kepada Tuhan.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Muzakarah tiga hari mulai Ahad yang bertemakan “Raja: Payung
Pelindung Agama” itu diadakan sempena Hari Keputeraan ke-59 Sultan Perak
yang lalu.
Sultan Nazrin bertitah, status agama seseorang, sama ada tergolong
sebagai ahli syurga atau neraka ditentukan Allah, maka tidak wajar serta
amat bercanggah dengan seruan Ilahi, jika manusia sendiri memilih
menjatuhkan hukum mengenai status akidah dan tahap keimanan insan lain.
“Tugas dan tanggungjawab manusia, terutama mereka yang terlibat
secara langsung mengurus dan mengendalikan urusan agama, ialah untuk
menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.
“Sifat ihsan adalah penting untuk berusaha membantu seramai mungkin manusia menemui cahaya kebenaran,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, ulama dan umara yang diamanahkan mengurus hal
ehwal Islam, perlu melaksanakan tanggungjawab mereka secara berhikmah,
bijak dan adil, di samping menghormati perasaan serta insan lain dan
wajib memahami realiti semasa dan setempat.
“Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati,
sementara raja bertanggungjawab memenuhi peranan penimbang tara secara
adil lagi saksama serta bersedia memberi ruang untuk mendengar dan
menghalusi,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, sifat adil memerlukan raja-raja memberi
payung naungan secara saksama kepada semua lapisan rakyat, tanpa mengira
anutan agama masing-masing.
“Raja-raja telah menerima hakikat kepelbagaian pegangan agama ini dan
tidak ada rekod yang menunjukkan raja-raja Melayu telah mengenakan
paksaan kepada penganut agama lain untuk memeluk agama Islam,” titah
Sultan Nazrin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment