Tuesday, January 26, 2016
Pilihanraya Sarawak : Kerusi DUN Bertambah, Tak Jadi Masalah...
Penambahan 11 kerusi DUN Sarawak bukan masalah bagi Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi
parti tunjang BN Sarawak itu.
Menurut Setiausaha Pergerakan Wanita PBB yang juga Setiausaha Wanita
Barisan Nasional (BN) Sarawak, Nancy Shukri penambahan kerusi ini tidak
akan menjejaskan peluang parti itu mempertahankan kerusi-kerusi DUNnya.
"Insyaallah parti PBB tidak ada masalah mempertahankan kerusi-kerusinya.
Mungkin ada sedikit di kawasan bandar di mana ramai orang Cina yang
dilihat lebih cenderung mempercayai pembangkang.
"Saya tak boleh bercakap bagi pihak parti lain. Tetapi PBB mempunyai
keyakinan, cuma ada kawasan yang kita perlu kerja lebih kuat daripada
biasa kerana pembangkang selama ini telah membawa isu-isu dengan cara
yang tidak betul dari segi maklumatnya dan orang mempercayai mereka,"
katanya.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, berkata walaupun BN perlu
kerja lebih kuat di kawasan-kawasan tertentu itu tidak bermakna ia tidak
bekerja kuat di kawasan yang lain.
"Kita bekerja keras sejak dulu cuma kita parti yang tidak suka
menunjuk-nunjuk taring. Kita sentiasa berada di kawasan dan sentiasa
berada di sisi rakyat. Sehubungan itu kita mempunyai keyakinan yang
tinggi boleh memenangi kawasan-kawasan ini.
"Cuma kita harapkan orang kita akan terus berkhidmat dengan cara
sepertimana yang telah PBB lakukan selama ini," katanya ketika ditemui
di parlimen pada Selasa.
Nancy berkata dia tak akan terkejut jika pembangkang mengulangi apa yang
mereka buat dalam PRU yang lalu, iaitu memainkan isu etnik dan agama.
"Kita menjangka pihak pembangkang akan memainkan isu ini sepertimana
yang terkena pada diri saya sendiri yang dipermainkan dalam isu-isu
Ibrahim Ali, Kalimah Allah dan Bumiputera. Kita sudah bersiap sedia
menangkis isu-isu sebegini," katanya.
Menurut Nancy orang Sarawak tidak mengukur individu berdasarkan etnik
atau agama yang dianutinya tetapi sifat, personaliti dan keupayaan calon
membuat kerja.
"Yang uniknya, kalau kita lihat di kawasan PBB, ada kawasan yang ADUNnya
bukan Islam tetapi kawasannya majoriti Islam dan juga sebaliknya.
"Orang Sarawak tidak kisah hal ini. Kita memilih atas dasar "calon yang
boleh menang" tanpa mengira agama yang dianutinya. Asalkan dia boleh
diterima oleh orang kawasan itu. Itu cara kita. Yang penting yang
dipilih jadi calon itu buat kerja," katanya.
Nancy berharap dasar itu yang dipegang oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan
Sri Adenan Satem, dijadikan amalan dan polisi yang berterusan.
Pada Disember lalu Adenan telah mengumumkan senarai calon PRN hampir siap dan hanya akan diumumkan pada Mac.
Dia dilaporkan berkata, daripada 40 kerusi yang diperuntukkan oleh PBB, 10 akan diwakili oleh muka baru.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment