Thursday, January 28, 2016
TPPA : Sudah Tiba Masa Pembangkang Berfikiran Terbuka, Henti Momokkan Rakyat - Penganalisis
PETALING JAYA : Pembangkang perlu berhenti 'memomokkan' rakyat di negara ini dengan andaian negatif mengenai kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Pengerusi Lembaga Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Datuk Prof Mohd Yusof Kasim berkata, sudah sampai masanya pemimpin pembangkang berfikiran terbuka dan tidak terlalu jumud dengan perubahan semasa.
"Sebab itu saya rasa kita pun perlu berubah, cara kita fikir pun kena berubah, kita tidak boleh selamanya minta dilindungi, dilindungi...tak boleh selamanya tetapi kita kena minta mana yang betul-betul lemah itu memang perlukan masa.
"Saya rasa dia sudah 'owner' (tuan punya) dalam perjanjian ini dia sudah 'owner', contohnya kepentingan bumiputera yang kerajaan punya 'procorument'(perolehan) pun bukan dia dapat percuma sahaja macam itu, ada juga syarat-syarat dia," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual eksklusif di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sama ada TPPA dapat membantu memacu ekonomi negara terutamanya dalam sektor pelaburan dan perdagangan.
Jelas Mohd Yusof lagi, dalam mana-mana perniagaan yang dibuat pasti ada risiko rugi, seraya menegaskan ianya tidak perlu terlalu dibimbangi peniaga jika mahu berjaya dalam dunia perniagaan yang tiada sempadannya.
Tambahan katanya, sekarang kebanyakan negara bersikap lebih terbuka dalam mencari pelabur untuk memajukan sektor ekonomi.
"Jadi kita perlu tengok secara terperinci dan keseluruhan, kalau hendak untung rugi langsung tiada, itu bukan namanya berniaga.
"Macam kita berniaga, macam kita hendak buat ekonomi, memang tidak boleh macam itu, mana kita sudah kukuh, kita kukuhkan, mana kita belum lagi, kita perkukuhkan, selepas itu dia akan bagi masa," katanya.
Beliau dalam pada itu menempelak mana-mana pihak yang terus mencanang kononnya dengan TPPA hanya akan menguntungkan satu pihak sahaja dan menyebelahi pihak yang memonopoli perniagaan.
Kerajaan sudah buat kajian TPPA
Tegas Yusof kerajaan sebenarnya sudah terlebih dahulu membuat kajian secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk terikat dengan TPPA.
Bahkan katanya, laporan analisis kos faedah Perjanjian Perkongsian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Pricewaterhouse Coopers (PwC) turut memberi jaminan TPPA lebih banyak memberi kebaikan daripada keburukan untuk jangka masa panjang ekonomi negara.
"Kalau mengikut kajian, satu daripada ISIS Malaysia sendiri ialah secara keseluruhannya, dia kebaikan maknanya menyokong kepada kepentingan negara untuk ISIS. Kalau melihat kajian daripada sektor swasta, kementerian yang ada terlibat PwC, itu pun positif juga, kalau kita masuk ini, perdagangan lebih banyak, pelaburan pun lebih banyak, maknanya gaji pun akan meningkat contohnya kan," katanya.
"Tapi kalau tidak masuk, pertumbuhan mungkin kurang sedikit, gaji mungkin tidak berubah, contohlah, kalau hendak kata dalam dunia yang sempurna ini tiadalah, tapi kita suka atau tidak suka, dunia ini sekarang memang sudah terbuka.
"Jadi kalau kita kata pasaran kapitalis, memang sudah berpuluh-puluh tahun, kita pun dalam sistem kapitalis, Malaysia pun memang dalam sistem kapitalis, kita negara yang banyak perdagangan daripada dulu lagi, memang kita sudah lama, kita perlu ingat, Malaysia punya pendekatan, dengan siapa pun kita berkawan," katanya.
Negara kecil yang lain pun berani berubah
Yusof dalam pada itu meminta supaya masyarakat di negara ini melihat beberapa contoh negara lain yang berani menapak selangkah ke hadapan bersabit dengan TPPA walaupun hasil ekonominya tidak sebesar Malaysia.
"Katalah dalam tempoh enam bulan, kita dapati memang banyak keburukan, kita boleh keluar daripada perjanjian tanpa apa-apa ikatan.
"Tapi saya pun hairan, mengapa negara Vietnam kecil pun berani masuk, Vietnam lagi rendah daripada kita, kedudukan ekonomi dia, tahap modal insan dia, tapi dia pun masuk," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta supaya pembangkang berhenti daripada asyik takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bimbang 'dijajah'.
"Kalau fikir macam itu, orang pelabur asing masuk macam menjajah, memang sudah lama dia patut kata begitu sebab kita memang banyak pelaburan asing. Memang kita memerlukan bukan Malaysia saja, walaupun Singapura contohnya, maknanya Singapura dijajah selama ini oleh pelabur dari Jepun kepada Amerika?
"Kalau kita kata pelaburan itu satu bentuk jajahan, kita pun boleh kata kita sudah jajah China la, kita banyak pelaburan di negara China sekarang, China pun banyak melabur di negara kita, jadi sama-sama menjajah," katanya.
Jelasnya analogi yang dibuat oleh pembangkang langsung tidak mendatangkan keuntungan kepada siapa-siapa sebaliknya hanya menutup peluang yang ada.
"Jadi saya rasa tidak betul terminologi penjajahan ekonomi itu tidak betul, maknanya sekarang ini bila TPPA, level 'playing field' saya boleh masuk rumah awak dengan syarat sama setuju, awak pun boleh masuk rumah saya dengan syarat yang sama setuju.
"Tapi bila masuk rumah Malaysia ada sedikit syarat ketat yang kita ubah-ubah, dia pun sudah setuju, maknanya kita lindung sudah rumah kita tapi kita boleh pergi rumah orang, katalah kita punya automatif, pasaran kecil kan bila ada TPPA ini kita boleh pergi jauh, pasaran syarikat elektrik kita yang bagus, memang betul tanpa TPPA kita okay, tapi kita akan lebih okay kalau ada TPPA," katanya.
"Jangan kita lupa bukan TPPA saja, yang bukan TPPA pun kita masih terbuka, sebagai contoh kelapa sawit kita ada banyak kan, India beli dan China beli banyakkan, kita buka. Jadi yang ada TPPA pun kita okay, kita boleh buka syarikat di tempat dia, boleh melabur di tempat dia," katanya lagi.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memberi beberapa analogi supaya rakyat dapat menilai sendiri kesan jangka panjang daripada TPPA yang akan memberi lebih banyak kebaikan daripada keburukan.
"Sebab bila banyak pelaburan, katalah banyak kilang didirikan, jadi dia perlu pasarkan melalui pelabuhan kan, macam 'Port Klang'. Sebab itu di Kedah ada idea hendak buat lapangan terbang itu sebab macam di Kulim kan ada banyak kilang, pelabur daripada Jepun hendak datang, pelabur dari China henda datang, pelabur mana hendak datang.
"Bila ada lapangan terbang itu, kos produksinya murahlah, jadi barang kita lebih kompetitif, jadi TPPA sebenarnya dia tiada cukai, pengurangan cukai, jadi kita punya harga rendah, bila harga rendah senanglah hendak dipasarkan," katanya.
"Misalnya hendak hasilkan satu benda, dia tidak halang, tetapi hendak masuk itu awak bayar cukai 10 peratus, bila bayar cukai, produk awak RM1, jadi RM1.01, produk orang lain RM1, jadi produk awak tak laku...
"Tetapi sekarang ini 10 sen itu sudah tiada, RM1 saja, jadi produk awak lagi laku daripada dia yang tidak masuk TPPA tadi tu kan RM1.05 sen, kita RM1 sebab kita sudah kawan, itu analogi dia, kalau kita berfikiran waras dan positif, memang bagus," katanya.
Cabaran kepada kerajaan dan MITI apabila laksana TPPA
Yusof turut meminta supaya kerajaan membantu peniaga sehingga ke peringkat akar umbi bagi memajukan mana-mana sektor yang mungkin terkesan sekiranya TPPA berjaya dilaksanakan di negara ini.
Beliau optimis kerajaan mempunyai caranya sendiri untuk membantu mana-mana industri kecil yang mahu memajukan perniagaan mereka.
"Banyak sektor sebenarnya yang kita tidak perlu masa pun (untuk buat perubahan), tapi ada beberapa sektor yang mungkin kita perlu bantu dan menjadikan dia betul-betul berdaya saing. Macam contoh, produk getah, kelapa sawit, kita semua sudah hebat dah dalam dunia. Elektronik, elektrikal kita semua sudah hebat cuma Malaysia ini macam bila kita sudah hebat kita tidak mahu mengaku, kita hendak lihat orang saja macam 'Rubber Glove', awak tahu 62% pasaran saham dalam dunia ini datang daripada Malaysia, sebab teknologi kita 'R&D' getah kita sudah lama.
"Jadi kerajaan bersama MITI (Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri) pun perlu lihat mana-mana sektor yang ada kekurangan maknanya kerajaan perlu membantu untuk meningkatkan keupayaan sebab pasaran bebas ini dia bergantung kepada daya saing," katanya.
"IKS ini pun, saya sudah lihat sendiri ada juga IKS ini sudah jauh ke depan, ada pasaran serantau pun ada, bukan semua IKS kita itu lemah macam yang kita bayangkan dulu. Cuma yang lemah itu ialah peranan 'chamber of commerce' dengan MITI itu semuakan untuk membantu mereka untuk dapat pasaran itu dan memenuhi piawaian kualiti itu, jadi itu saya rasa benda yang boleh dibuat secara polisi dalaman. Bukan makna sebab kita ada sedikit kelamahan, kita langsung tak nak, sebab kerugian tak nak itu lebih besar daripada yang kita masuk, kita ada keuntungan.
"Sebab itu saya hendak tanya sampai bila kita tidak mahu berubah kan? Kita perlu berubah mungkin satu dari segi buruh, kalau dalam mana TPPA, buruh lebih terurus, kuasa buruh pun ada semua kan. Jadi maknanya mungkin boleh naik gaji sebagainya kan, kalau kita hendak jadi negara maju, memanglah kita kena naik gaji, kalau tidak macam mana hendak dapat pendapatan tinggi tapi orang pengeluar akan kata, kos dia akan lebih tinggikan? Jadi pada saya sebenarnya keuntungan daripada peluang perniagaan pelaburan itu dikongsilah dengan pemodal dan pekerja," katanya lagi.
Usul untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam TPPA akan dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat yang bermula semalam.
Anggota Dewan Rakyat akan membahas dan mengundi mengenai TPPA dalam sesi khas dua hari yang dijangka berakhir petang ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment