Tuesday, January 26, 2016
Pengalaman 'Berharga' 2-3 Hari Di Kedah: Apa Salah Penulis??? - Amir Hamzah
Cerita-cerita hangat di kedai kopi di sekitar negeri Kedah benar-benar
mengejutkan penulis. Sekiranya ketua-ketua UMNO Bahagian di Kedah yang
mahu Dato' Seri Mukhriz Mahathir berundur itu dengar, mungkin mereka
akan sembunyi bawah meja sampai 3-4 hari.
Menyusuri 'perang syok sendiri' di kedai-kedai kopi di sekitar negeri
jelapang padi itu, penulis dihidangkan dengan pelbagai kisah 'menarik',
'hebat' dan 'pelik'. Tidak tahulah benar atau tidak. Nama pun cerita
'kedai kopi'. Kadang kala kisahnya A sahaja, tapi ditambah abjadnya
hingga tidak cukup huruf.
Kisah pertama menceritakan tentang himpunan-himpunan 'rakyat Kedah yang
menyokong Mukhriz'. Katanya, setiap himpunan 'selamatkan Mukhriz di
Kedah' itu telah dihadiri tidak kurang dari '20,000' peserta.
Ramai benar bunyinya, bukan? Maklumlah, dikhabarkan kempen untuk setiap
himpunan tersebut kononnya dikendalikan oleh sebuah pasukan khas yang
dikepalai 'ketua perang' yang bertanggungjawab menewaskan PAS di Kedah
dulu.
Penulis 'percaya' walau media melaporkan paling ramai pun sekitar 30
hingga 300 orang saja. '20,000' pun '20,000'lah asalkan Mukhriz
'selamat' di Kedah.
Kisah kedua pula ialah mengenai KCS. Khabarnya semua KCS 'menyokong
penuh' kepimpinan Mukhriz di Kedah. Siap pula pakcik-pakcik di kedai
kopi tersebut tunjukkan pada rakan-rakan mereka keratan akhbar di
telefon pintar mereka sebagai bukti.
Lebih mengejutkan penulis, ada seorang pakcik mengatakan khabarnya semua
KCS di seluruh Kedah sudah sepakat untuk meletak jawatan sekiranya
Mukhriz ditukar dari jawatan Menteri Besar. Benar atau tidak dakwaan
pakcik itu penulis tidak pasti.
Walau pun pakcik itu tidak ada gigi, namun cara dia bercerita
bersungguh-sungguh benar. Siapa yang sanggah ceritanya silap-silap dapat
makan penampar percuma.
Mendengar kata-kata pakcik itu, penulis hampir tersedak air kopi. Jadi
selama ini semua KCS 'totok' sokong Mukhriz? Maklumlah, penulis ini
orang luar. Manalah tahu apa-apa. Dengar sajalah cerita mereka. Dapat
juga 'maklumat sulit' yang terkini.
Tiba pula di sebuah kedai kopi, penulis dapat kisah ketiga. Kisah
selfie. Seorang pakcik di kampung itu dikatakan memakai songkok setiap
hari sejak dia berjaya 'selfie' dengan Mukhriz di pasar pagi. Di Kedah,
pasar pagi dipanggil 'pekan nat'.
Pakcik itu bekerja sebagai penoreh getah dan terserempak dengan Mukhriz
di 'pekan nat'. Dia menyesal sebab tidak pakai se'smart' mungkin ketika
berpeluang selfie dengan Menteri Besar Kedah itu.
Sejak hari itu, pakcik berkenaan dikatakan tidak lagi pergi memotong
getah dan kerjanya ialah menunggu Mukhriz dengan songkok di tangan
setiap hari di pekan nat tersebut. Katanya, manalah tahu jika Mukhriz
datang lagi. Bolehlah dia selfie sekali lagi dengan imej bersongkok!
Betul-betul 'popular' Mukhriz di Kedah rupanya. Sampai ada yang sanggup
berhenti menoreh terkena 'penangan selfie dengan Mukhriz'? Penulis
menggaru kepala yang tidak gatal mengenangkan pakcik dengan songkoknya
itu. Biar kebulur tidak makan, asalkan dapat selfie dengan Mukhriz?
Penulis tidak dapat lama di Kedah. Penulis bekerja dan perlu pulang ke
negeri asal penulis. Namun sepanjang pengalaman penulis menjelajahi
negeri itu selama 2-3 hari ini, Kedah adalah hampir sama keadaannya
ketika Tan Sri Azizan Abdul Razak mentadbir.
Yang penulis lihat, Kolej Universiti Insaniah masih wujud. Satu lagi
yang paling baru adalah kompleks Aman Central yang kecoh ketika hendak
dibina dulu. Khabarnya kedua perubahan tersebut adalah kerja Tan Sri
Azizan Razak, benarkah?
Pekan Rabu baru pula sedang dalam pembinaan. Khabarnya projek tersebut
datangnya dari Kerajaan Persekutuan. Ada UTC di bandaraya Alor Setar dan
RTC lain di beberapa RTC di kawasan luar bandar, termasuk di Asun,
berhampiran pekan Changlun. Itu rasanya projek dari kerajaan pusat.
Lalu di Kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim yang khabarnya
menerima pelaburan 'berbilion', penulis melihat tidak banyak bezanya
dengan zaman PAS dulu. Khabarnya, pelaburan yang masuk pun adalah hasil
pertolongan Mida, MITI dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dari hasil tangan
Mukhriz khabarnya sedang 'dalam perancangan', benar?
Menceritakan kembali apa yang penulis lalui kepada rakan-rakan dari
Kedah ketika sudah tiba di negeri kelahiran penulis, penulis diketawakan
beramai-ramai di khalayak ramai. Rasa hendak tampar orang pun ada juga
ketika itu. Merah muka penulis yang sedia kacak ini dibuatnya.
Cerita kedai kopi pun hang percaya???!!! Itulah kata mereka sejurus
sebelum berderai ketawa mereka. Apa salah penulis? Rasa mahu menangis
pun ada...
Ditulis oleh : Amir Hamzah
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment