Tuesday, January 26, 2016
“Kepentingan Negara Perlu Mengatasi Kepentingan Peribadi” – TPM
PETALING JAYA : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata siasatan Peguam Negara terhadap kontroversi derma politik
berjumlah RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dibuat dengan teliti dan menyeluruh.
“Setiap bukti dan perkara disiasat dengan mendalam. Tiada sesiapa pun
harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan
kebebasan institusi di Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri itu pada
Selasa.
Selain itu menurut Ahmad Zahid, seperti yang dijelaskan sebelum ini,
tiada pelanggaran undang-undang berlaku membabitkan isu derma berkenaan.
“Seperti yang telah dijelaskan, tiada syarat yang dikenakan dengan
derma yang telah dibuat kepada Perdana Menteri secara peribadi, iaitu ia
dibuat daripada kepercayaan kepada beliau dan kepimpinan beliau
mengenai isu-isu utama.
“Saya mengetahui akan perkara ini selepas bertemu sendiri dengan
penderma yang dimaksudkan. Perdana Menteri memilih sendiri untuk
menggunakan sumbangan untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat
di seluruh Malaysia,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid beliau berharap semua pihak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Peguam Negara mengenai isu berkenaan.
“Sebagai ahli politik, kita sentiasa bersedia untuk diserang oleh
musuh-musuh yang ingin merosakkan reputasi kita dengan tuduhan palsu
untuk menidakkan kita. Walau bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan
reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi.
“Kita telah terlalu banyak menghabiskan masa dengan perkara ini.
Justeru saya berharap ia tidak diungkit lagi. Kita mesti bersatu dan
bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk Malaysia.
“Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita
mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang
dihadapi kini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment