Tuesday, January 26, 2016

Eksekutif TV9 Dibunuh, Bukan Bunuh Diri – Timb Pendakwaraya

Kes-Kematian-Syaleza
PUTRAJAYA : Keterangan dan dapatan dua saksi menunjukkan eksekutif pentadbiran TV9 Nur Syaleza Jaffar dibunuh dan bukannya dia gantung diri, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha berkata hakim Mahkamah Tinggi khilaf apabila gagal mempertimbangkan keterangan Pakar Forensik Patalogi, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor dan ASP Mazli Jusoh yang berpendapat kejadian si mati gantung diri pada kipas siling tidak berlaku.

Beliau berkata Dr Shahidan dalam keterangannya menyatakan sukar untuk menyatakan Nur Syaleza menggantung dirinya berdasarkan tanda jalur di depan leher si mati adalah mendatar.

“Pakar forensik patologi itu menjelaskan jika seseorang itu mengantungkan diri, kesan fizikal lebih menegak dan tidak mendatar,” katanya dalam hujahan berhubung rayuan pihak pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Mei tahun lepas membebaskan Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, suami kepada Nur Syaleza, daripada tuduhan membunuh wanita itu.

Norazman, 34, bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di Apartmen Saujana di Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai, 2012.

Nurshafini berkata pakar patologi itu juga berpendapat si mati dicerut dengan benda yang lembut dan lebar dari belakang kerana kesan jalurnya yang mendatar dan kesan lebar itu terdapat di depan lehernya saja.

Hujahnya, keterangan saksi itu juga menyatakan jika menggantung diri, selalunya si mati akan lebih pucat bergantung pada beberapa lama dia tergantung dan peristiwa yang menyebabkan muka merah dan hujung jari dan bibir biru agak jarang ditemui seperti yang terdapat pada Nur Syaleza.

Katanya, Mazli yang menjalankan siasatan di tempat kejadian, menyatakan agak sukar gantung diri berlaku dalam keadaan iaitu sebelah tangan si mati memegang almari manakala sebelah lagi tangannya menggantung diri pada masa dia berdiri atas bangku yang dikatakan diletakkan di atas tilam yang tidak stabil.

Nurshafini berkata Mazli memberi keterangan untuk membuat simpulan pada kain cadar, si mati memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan.

Hujahnya pegawai penyiasat menjalankan siasatan yang lengkap untuk menunjukkan Norazman membunuh isterinya dengan menjerut lehernya dengan cadar.

Nurshafini berhujah hakim Mahkamah Tinggi juga gagal mempertimbangkan pembelaan Norazman berhubung isu mengapa dia tidak mengambil tindakan pantas untuk memecah pintu bilik sekiranya dia mendengar bunyi benda jatuh dari bilik itu.

Peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris pula memohon Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Norazman.

Beliau berhujah faktor kemurungan penyebab Nur Syaleza bertindak menggantung dirinya, tambahnya wanita itu mengalami kemurungan setelah dia mendapat tahu suaminya curang.

Katanya, ketiadaan kesan habuk pada cadar dan kesan habuk pada kipas disebabkan bahagian tersebut sememangnya tidak terlekat habuk.

Beliau juga berhujah penggunaan bangku kecil yang dijumpai di dalam bilik itu boleh digunakan sebagai alat gantung diri dan kegagalan polis dan forensik menjalankan siasatan ke atas perkara itu memudaratkan kes pihak pendakwaan.

Panel 3 hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Seri Zakaria Sam dan hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim menetapkan 19 Februari untuk mengumumkan keputusan terhadap rayuan pihak pendakwaan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment