Thursday, January 28, 2016
Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang Pengubahsuaian Bajet 2016
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia
YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
Saudara dan Saudari Para Hadirin dan Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
Hal 1: Mukadimah
1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad Sollal-Lah-hu-a’laihi-wa-sallam.
2. Saya mulakan dengan memetik tafsir oleh para ulamak merujuk firman Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah bahawa, pada setiap kesulitan dan dugaan yang kita hadapi, pasti beriring dengannya kesenangan atau kebahagiaan yang berhikmah.
3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada dalam diri kita masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
4. Disebut orang sejak dahulukala, sekali air bah,… sekali pantai berubah. Kendati itu, tengahari ini, 28 haribulan Januari 2016, bertepatan 18 haribulan Rabiul Akhir 1437 Hijrah, satu lagi perutusan penting hendak saya sampaikan, kerana tampaknya Bajet 2016 turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.
5. Apa yang saya ingin perkata dan kongsikan hari ini, lebih bersifat penerangan, perbandingan, penjelasan dan langkah-langkah menangani situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui dalam pelbagai babak sejak hampir 2 dekad yang lalu.
6. Lantaran, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana, pada tengahari Khamis, yang mulia ini, hadirnya di dewan PICC ini, saudara dan saudari di kalangan pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.
7. Semuanya hadir ke majlis perutusan khas ini, bagi tujuan mendengar dan memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai dan menstruktur beberapa perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet 2016.
Saudara-saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
9. Makanya, selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan, langkah-langkah yang akan saya umumkan sebentar lagi, merupakan rumusan setelah mengambil kira pendapat dan pandangan secara menyeluruh.
10. Ini turut dilengkapkan lagi melalui sesi – sesi perundingan dengan pelbagai economic stakeholders, termasuklah juga syarikat-syarikat GLC, ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar industri.
11. Bahkan, Kerajaan juga telah mendapatkan idea-idea bernas daripada pihak-pihak NGO, yang mewakili para pengguna, ahli-ahli perniagaan tersohor serta pengarah-pengarah perbankan runcit dari pelbagai peringkat.
12. Ternyata sebahagian besar daripada mereka, hadir bersama kita pada tengahari ini. Terima kasih saya ucapkan di atas semua input dan dokongan anda,…terima kasih,… terima kasih.
Indeed,… we are all doing this together for our nation.
Hal 2: Perbandingan Senario Ekonomi Negara Sejak 1997/98
Saudara-saudari sekalian,
13. Terlebih dahulu, mari kita himbau senario keadaan ekonomi negara ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 hingga 98.
14. Pada tahun 1997 hingga 98, negara telah mengalami apa yang disebut sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4 peratus.
15. Ketika itu, janganlah kita lupa bahawa,… antara kesan besar kegawatan ekonomi yang berlaku tersebut, telah menatijahkan pemberhentian pekerja secara mendadak, inflasi meningkat, rizab antarabangsa pula menyusut kepada 59 bilion ringgit, hatta indeks pasaran saham KLSE jatuh menjunam sehingga mencecah paras 260.
16. Begitu banyak, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar, sampaikan segolongan anak-anak kita waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga pasca sarjana muda, ramai yang hancur luluh hasrat dan impian mereka, untuk menyambung pengajian ke luar negara terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu tidak mampu memberi pembiayaan.
Saudara dan saudari serta rakyat Malaysia sekalian,
17. Jadinya, atas situasi yang melanda itu, Kerajaan yang memimpin pada tempoh itu, telah mengambil langkah-langkah drastik termasuklah pelaksanaan kawalan modal atau capital control dan tambatan matawang pada 3.8 ringgit berbanding 1 dolar Amerika.
18. Institusi perbankan telah dirasionalisasi, hutang syarikat swasta distruktur semula melalui penubuhan Danaharta dan Danamodal. Kerajaan ketika itu juga, telah melaksanakan pakej rangsangan bernilai 7 bilion ringgit untuk memulihkan kembali ekonomi domestik.
Saudara dan Saudari sekalian,
19. Seterusnya, negara sekali lagi menghadapi kegawatan ekonomi pada senario 2008 hingga 2009. Ia akibat subprime crisis di Amerika yang memberi impak kepada ekonomi global, serta kenaikan mendadak harga minyak dunia, sehingga mencecah 130 dolar Amerika setong, berbanding purata 70 dolar Amerika setong pada tahun sebelumnya, yakni 2007.
20. Eksport negara pula menyusut lebih 15 peratus. Kesannya, sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan turut terjejas.
21. Ketika itu, saudara dan saudari, saya baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kewangan dan tanpa berlengah lagi, mengambil langkah segera dengan membentangkan pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai 7 bilion ringgit pada November 2008.
22. Beberapa bulan selepas itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan kedua bernilai 60 bilion ringgit pada Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti ekonomi domestik. Pakej rangsangan kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan inisiatif daripada pihak Kerajaan dan swasta.
23. Tidak cukup sekadar pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas sahaja saya mengambil tampuk kepimpinan negara, pelbagai prakarsa telah Kerajaan rencana dan laksanakan, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN sehingga kini.
24. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, demi memacu Malaysia menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.
25. Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.
26. Manakala, kita juga bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, juga program perumahan mampu milik.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
27. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup,… langit pula tidak selalunya cerah. Menjengah senario ekonomi negara pada tahun lepas, yakni 2015, Malaysia diuji lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga dan berada di luar kawalan kita.
28. Harga minyak telah jatuh daripada 100 dolar Amerika, kepada 48 dolar Amerika setong. Sejak itu, harga minyak terus turun, hinggakan Bajet 2015 perlu diubahsuaikan.
29. Apa yang berlaku pada tahun lepas, hasil negara daripada sumber berasaskan minyak, telah jatuh hampir 14 bilion ringgit. Maka, pada 20 haribulan Januari 2015, bagi pihak Kerajaan, saya telah membentangkan pengubahsuaian ke atas Bajet 2015, dengan merasionalisasi perbelanjaan serta menyemak semula sasaran defisit fiskal kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada 3.2 peratus.
30. Ingin saya nyatakan bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015 tersebut, turut disokong oleh inisiatif seperti rasionalisasi subsidi minyak yang telah dilaksanakan terdahulu, walaupun ianya merupakan keputusan yang tidak popular.
31. Syukur kepada Allah, kesemua langkah ini telah berjaya mengurangkan kesan akibat daripada kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.
32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan kewangan kita, dengan mengekalkan penarafan yang baik.
33. Dengan semua ini, saya yakin ekonomi akan mencatat pertumbuhan 5 peratus dan defisit fiskal kepada KDNK pada 3.2 peratus, seperti yang disasarkan pada 2015. Insya-Allah, laporan sebenar akan diumumkan pada bulan hadapan.
Hal 3: Senario Ekonomi Terkini
Saudara dan saudari sekalian,
34. Bagi tahun 2016 pula, ekonomi global dijangka lebih mencabar. Data semasa oleh IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.
35. Manakala, perdagangan dunia juga dijangka menyusut, daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang dengan lebih perlahan.
36. Trend ini membuktikan, we are not alone in facing the global economic challenges. Negara-negara lain juga turut menerima kesan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.
37. Harga minyak mentah dunia pula, terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.
38. Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada hasil negara. Malah, negara-negara pengeluar minyak turut terjejas ekonomi mereka.
39. Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding matawang lain. Antara matawang tersebut adalah, Real Brazil, negatif 23.2 peratus, Renminbi China, negatif 5.7 peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan Dolar Singapura, negatif 5.6 peratus.
40. Sementara itu, nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.
41. Hakikatnya ringgit kini di rendah nilai daripada yang sewajarnya, seraya tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara. Oleh itu, ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran kewangan global kembali stabil kelak, dan harga minyak kembali kepada paras yang lebih munasabah.
Hal 4: Langkah-Langkah Baru dan Terkini
Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,
42. Kesemua perkembangan yang telah saya nyatakan itu, telah mengakibatkan ekonomi global menjadi tidak menentu, dan tempiasnya ke atas ekonomi domestik turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
43. Menyedari hakikat ini, demi menggalas amanah sebagai Ketua Kerajaan yang bertanggungjawab, bersama Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri, pada hari ini, kita mengambil tindakan proaktif untuk membuat pengumuman bagi melaksanakan langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet 2016.
44. Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi sekali lagi cabaran ekonomi ini.
We have done it before,… Insya-Allah,… we can do it again.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
45. Seperti mana situasi tahun lalu, sekali lagi saya mahu tegaskan bahawa,… dengan izin Allah jua,… negara ini tidak dan bukannya berada dalam kegawatan ekonomi, mahupun technical recession.
46. Malah, dengan berkat usaha dan doa kita bersama, mudah-mudahan pertumbuhan ekonomi domestik akan terus kekal kukuh, dan berdaya tahan, serta mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
47. Selain meneruskan dengan langkah-langkah yang dirumuskan pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu, sukacita saya umumkan pula 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal berada pada jajaran yang betul.
48. Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.
49. Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.
50. Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:
Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten.
Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.
Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.
Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.
Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.
Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan
Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
51. Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.
Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.
Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.
52. Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.
53. Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:
Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.
Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.
Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.
Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan
Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.
Saudara dan Saudari sekalian,
54. Langkah ketujuh: Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.
Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.
55. Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.
56. Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.
Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.
57. Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies; dan
58. Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.
Saudara dan saudari sekalian,
59. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.
60. Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.
61. Sebagai langkah tambahan, sukacita saya umumkan, bahawa pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.
Saudara dan saudari sekalian,
62. Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan 7 hingga 9 bilion ringgit, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak 48 dolar Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat.
63. Misalannya, Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan. Di sini juga saya tegaskan, bahawa Kerajaan akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.
64. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.
65. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.
66. Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Saudari dan saudari sekalian,
67. Meski apapun yang berlaku, Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Dengan ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:
Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.
Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan
Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.
68. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.
69. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.
70. Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini sahaja, seramai 25 ribu pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Makanya, sebagai tambahan, saya mahu menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.
Saudara dan saudari sekalian,
71. Seterusnya, saya ingin menyatakan bahawa:
Pertama: Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, Kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016, kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong;
Kedua: Kerajaan tetap komited mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi tahun 2016, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;
Ketiga: Kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK;
Keempat: Kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit;
Kelima: Dasar monetari yang akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri; dan
Keenam: Mempastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi. Terbaru, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau Statutory Reserve Requirement, daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus.
72. Jelasnya, Kerajaan tidak akan berganjak daripada dasar-dasar fiskal dan monetari, demi keutuhan ekonomi negara.
73. Selain itu, Kerajaan juga bimbang dengan kos gaya hidup rakyat yang tidak bersesuaian dan melebihi kemampuan mereka. Sehubungan ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada. Berita baiknya, kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.
Saudara dan saudari sekalian,
74. Sebagai tambahan, bagi PKS dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.
75. Dari segi pelaburan pula, saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini.
76. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.
77. Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.
78. Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.
79. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier dan Go-Export. Selain itu, untuk meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.
80. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport. Kita harus meneroka pasaran baru melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan datang.
Saudara dan saudari sekalian,
81. Berkait isu TPPA ini yang Alhamdulillah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat lewat petang semalam, tidak timbul sama sekali tuduhan oleh sesetengah pihak, kononnya kita berkompromi tentang soal kedaulatan negara, apatah lagi bersifat apologetic dalam mempertahankan agenda Bumiputera, ketika berunding dengan anggota-anggota TPPA.
82. Malah, ketahuilah bahawa hasil kesungguhan dan ketegasan Kerajaan dalam proses perundingan, akhirnya, anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.
83. Ertinya, agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.
Hal 5: Penutup
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
84. Sesebuah negara maju bukan sahaja kerana dasar-dasar yang betul dan baik, tetapi juga kerana sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat.
85. Kita semua mempunyai peranan masing-masing, tidak kira samaada pihak swasta, Kerajaan, NGO, Belia atau Wanita. Tidak kira CEO, Pengarah, Pegawai Pelaksana, buruh ataupun seorang peniaga kedai.
86. Secara keseluruhannya, dapat saya gariskan lima perkara as the key salient points:
Pertama: Langkah pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan langkah proaktif, telus dan realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;
Kedua: Ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berkembang serta berdaya tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik;
Ketiga: Kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;
Keempat: Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal; dan
Kelima: Pengubahsuaian bajet ini bertunjangkan kepada prinsip shared responsibility oleh segenap lapisan masyarakat.
Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
87. Secara kesimpulannya, perutusan penstrukturan dan pengubahsuaian ini, sama juga seperti perutusan tahun lepas, bukanlah satu bajet yang baharu. Ia masih di dalam ruang lingkup inisiatif serta peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi Bajet 2016.
88. Apa yang jelas, kita faham bahawa, perihal-perihal bersangkut ekonomi dan fiskal negara, bukanlah perkara-perkara yang mudah dihadam, mahupun difahami oleh semua peringkat.
89. Bahkan, ia tidak sekadar terletak kepada tanggungjawab dan amanah di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan kehidupan dan dalam negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan peranan, saling ganding berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing, pandanglah yang Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada yang Satu, itulah dia sumber kekuatan.
91. Lantas, sesudah ini, saya berharap tiap lapisan memainkan peranan masing-masing bagi menerangkan letak duduk keadaan ekonomi dan ikhtiar-ikhtiar yang tidak kunjung putus diambil oleh Kerajaan yang mentadbir, bagi terus memperteguhkan keadaan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat, agar dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban di bahu mereka.
92. Maksud saya, semua golongan dari pentadbiran Kerajaan hinggalah kepada cendekiawan yang mahir ilmu pengetahuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut akan ehwal yang berlaku supaya semua pihak dari se-atas hingga se-bawah-bawahnya, membawa kepada perbualan di gerai gerai mamak dan teh tarik, mengetahui seboleh mungkin perihal cabaran serta tantangan yang negara hadapi kini.
93. Dengan itu, moga-moganya, anak cucu kita kelak, akan memberi rasa hormat atas setiap kebaikan yang kita capai demi kelangsungan Malaysia yang sebenarnya bukanlah hak kita, namun adalah hak warisan generasi akan datang.
94. Jelasnya, kita berpegang kepada madah orang-orang tua, berdiam dirilah daripada berkata yang bukan-bukan, namun bersuaralah kepada perkara yang berguna. Usah ditanya apakah bakti negara kepada kita, sebaliknya, tanyalah apakah sumbangan kita kepada nusa dan bangsa.
Saudara dan Saudari,
95. Pucuk pangkalnya, perlu difaham baik-baik, bahawa apa yang sedang dihadapi, bukanlah kerana kegagalan Kerajaan merancang, tetapi kemelut ekonomi global yang terus terusan melanda, sememangnya, berada di luar kawalan tangan tangan kita.
96. Sesungguhnya, setiap keputusan yang kita lakukan hari ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan pastinya akan terakam dalam sejarah. Bahawa, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal, seperti yang didakwa dan dituduh-tuduhkan, jauh sekali menjadi bankrap. Nauzubillah…
97. Bahkan,… realitinya kita masih berada dalam keadaan yang stabil dengan pertumbuhan yang kukuh, sekaligus mampu bertahan lagi kekal terus berdaya saing. Insya-Allah.
98. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah yang maha berkuasa, semoga akan terungkai segala masalah, beroleh berkat dan selamat, serta sentosalah Malaysia, zahir dan batin.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment