Tuesday, January 26, 2016
Isu Sumbangan Dana Selesai, Kini Masa Bergerak Ke Hadapan – Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berikutan isu
sumbangan kini selesai sepenuhnya, sekarang masanya bagi rakyat Malaysia
untuk bersatu dan bergerak ke hadapan.
Perdana menteri berkata isu berkenaan telah menjadi gangguan tidak wajar terhadap negara ini.
Dalam entri terbaru akaun Facebooknya, Najib memberi keutamaan untuk Malaysia bergerak ke hadapan.
“Saya akan menggandakan tumpuan saya terhadap isu-isu yang menjadi
keutamaan Malaysia, terutama memerangi ancaman pengganas dan mengukuhkan
ekonomi ketika berdepan cabaran global,” katanya.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini membersihkan Najib
daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan siasatan kes SRC
International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke
dalam akaun bank perdana menteri.
Bercakap di Putrajaya, Mohamed Apandi berkata siasatan mendapati
amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah
sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan
daripada jumlah itu sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula
kepada penyumbang pada tahun yang sama.
“Tiada apa-apa kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung hasil siasatan kes berkenaan.
Najib berkata beliau mengalu-alukan kenyataan Mohamed Apandi berhubung perkara itu.
“Hasil keputusan itu adalah menerusi siasatan terperinci oleh
pelbagai institusi berkaitan, dan beliau mengesahkan apa yang saya
pertahankan selama ini – tiada kesalahan jenayah dilakukan,” kata
perdana menteri.
Najib berkata beliau sedar bahawa pembiayaan politik merupakan topik yang menjadi perhatian orang ramai.
Katanya sebab itu beliau memulakan cadangan pembaharuan dana politik
pada 2010, tetapi malangnya ia dibantah oleh pembangkang pada masa itu.
“Bagaimanapun, saya mengarahkan mereka mengusulkan semula (cadangan itu) untuk dibincangkan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment