Friday, January 29, 2016
UMNO 70 Tahun – Jati Diri Generasi Muda Perlu Diperkukuhkan
KUALA LUMPUR : Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi UMNO
akan memasuki usianya yang ke-70 tahun dan terbukti berjaya mengecapi
zaman kegemilangan mahupun menangani zaman kesuraman.
Tujuh dekad berada di persada politik menerajui negara bukanlah waktu
yang singkat. Dapat dilihat bagaimana pemimpin dan ahli masing-masing
memainkan peranan membina dan mempertahankan parti keramat ini terutama
dari pembangkang yang tidak henti mahu meruntuhkan keutuhan yang wujud.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Selangor, Muhammad Nazri Mohd Amin berpendapat sebagai satu generasi
yang akan mewarisi panji-panji keramat mengharapkan agar parti perlu
lebih efisen di dalam memenangi hati generasi muda pada hari ini supaya
kelangsungannya tetap utuh sepanjang zaman, memberi khidmat yang terbaik
kepada rakyat.
Menurutnya,
parti perlu lebih dinamik dan berakar pada massa agar persepsi umum
yang menyatakan UMNO gagal memahami aspirasi anak muda perlu ditolak
sama sekali.
“Di samping itu, kita perlu lebih inklusif untuk mendekati dan mendampingi semua sektor yang berkaitan dengan generasi muda.
“Kita harus bersama anak muda yg minum di ‘Starbuck’, mempunyai
‘Twitter’, ‘Facebook’, ‘Instagram’ dan satu perkembangan yang amat
positif apabila sekarang ini kita lihat ramai pemimpin-pemimpin parti
yang aktif di media sosial, bertindak mengikut peredaran zaman.
“Kita juga mesti bersama anak-anak muda di kampung yang naik
motorsikal tanpa helmet, tidak mempunyai lesen dan pekerjaan tetap untuk
mendengar dan menyelami keluhan mereka,” ujarnya kepada media.
Walaupun begitu, generasi muda di dalam parti juga perlu sentiasa
mendampingi serta mempunyai hubungan yang erat dengan generasi lama
terutama di kalangan Veteran UMNO kerana ia mampu meningkatkan semangat
juang parti, katanya lagi.
“Jasa-jasa parti dan jasa-jasa orang terdahulu memang sudah menjadi
sejarah, tetapi sebenarnya dengan sejarah itulah kita mampu jadikan
sandaran, merencana dan mengatur untuk masa hadapan parti.
“Jati diri yang kuat merupakan ramuan utama yang perlu ada di dalam
setiap ahli parti, supaya parti mempunyai ahli dan jentera yang
berkualiti terutama bagi mendepani hari-hari mendatang yang pasti akan
lebih mencabar,” tegasnya.
Tambahnya lagi, kerana itu juga perkaderan adalah penting di dalam
sesebuah parti supaya dapat melahirkan pelapis ahli dan bakal pemimpin
yang kuat jati diri, berilmu dan sayang kepada parti melebihi
kepentingan peribadi.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan dengan matangnya usia
parti, sewajarnya setiap ahli juga haruslah matang dengan memperkuatkan
lagi barisan parti dengan menangkis segala serangan dan fitnah yang
dilemparkan oleh pihak-pihak yang suka melihat parti berpecah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment