Friday, January 29, 2016
Keputusan Kes Berasaskan Niat Jahat Boleh Dicabar Di Mahkamah - Bekas Hakim
PUTRAJAYA : Mahkamah adalah 'hakim' muktamad yang dapat menentukan sebarang salah laku, kata Datuk Mohd Noor Abdullah.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, sehubungan itu, sebarang
keputusan yang dibuat oleh penjawat awam dengan niat jahat boleh dicabar
di mahkamah.
"Apa juga keputusan awam yang dibuat oleh penjawat awam dengan niat jahat boleh dicabar di mahkamah undang-undang.
"Bagaimanapun saya percaya Peguam Negara tidak menyalahgunakan kuasa
dalam membuat keputusannya baru-baru ini," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri mesyuarat Panel Khas dan Panel Penilaian Operasi
(PPO) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan
SPRM di sini, Khamis.
Mesyuarat tersebut membincangkan tentang keputusan Peguam Negara, Tan
Sri Mohamed Apandi Ali yang mengarahkan SPRM menutup kes SRC
International dan dana RM2.6 bilion setelah mendapati Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan
kes itu.
Bercakap atas kapasiti bekas hakim, bukannya sebagai salah seorang
daripada lima anggota Panel Khas, Mohd Noor berkata, orang awam kini
lebih berpendidikan dan mahu beberapa perkara berkaitan kes yang tidak
didakwa diperjelaskan.
Selain Mohd Noor, empat lagi panel adalah Tan Sri Musa Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Lim Chee Wee dan Datuk Zuraidah Atan.
Beliau memberi contoh maklumat pengaliran wang yang dalam kedua-dua kes tersebut yang dianggap penting untuk pengetahuan umum.
"Sebagai Peguam Negara anda boleh membuat keputusan tetapi ia juga perlu memberi jawapan kepada orang awam.
"Masyarakat kini berpendidikan, mereka tak boleh ditipu," katanya.
Dua panel bebas itu pada Khamis menasihatkan SPRM supaya melibatkan diri
semula dengan Peguam Negara berhubung dua kes yang telah diputuskan
itu.
Mohamed Apandi pada sidang media Selasa berkata, Jabatan Peguam Negara
berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri
berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC
International dan dana RM2.6 bilion.
Katanya, beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit
ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk
simpan (KUS).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment