Friday, January 29, 2016
Dana Dan Hubungan Dengan Israel : NGO Desak Kepimpinan Dap Usah Sembunyi Kepala
KUALA LUMPUR : Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini
mendesak kepimpinan parti Dap agar tidak terus menyembunyikan kepala
sebaliknya segera memberikan penjelasan terhadap dakwaan Razali Abdul
Rahman berhubung perjanjian untuk mewujudkan pengkalan tentera Israel di
Port Dickson sekiranya mereka memenangi pilihanraya umum ke 13 yang
lalu.
Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS), Ustaz Rosdi
Long berkata, kepimpinan Dap perlu memberikan penjelasan kepada rakyat,
khususnya umat Islam di negara ini tentang dakwaan bekas pegawai khas
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa wujudnya
kerjasama dan perjanjian antara kepimpinan parti tersebut dan Israel.
“Ini merupakan satu dakwaan yang amat serius. Kepimpinan Dap mesti
memberikan penjelasan segera berhubung perkara ini. Setakat ini
kepimpinan Dap hanya menafikan perkara tersebut namun penafian itu
dilihat hanya seolah-olah melepaskan batuk di tepi tangga sahaja. Bahkan
mereka juga mengancam untuk menyaman Razali, namun sehingga ke hari ini
tiada sebarang tindakan yang diambil.
“Bagi saya, isu kerjasama dengan Israel ini menjadi persoalan di
kalangan rakyat khususnya umat Islam di negara ini. Pertamanya isu ini
amat sensitif kerana ia merupakan isu agama di mana sejak lebih 60 tahun
umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara ini menentang kezaliman
dan pembunuhan yang dilakukan oleh regim tersebut terhadap rakyat
Palestin.
“Yang keduanya, jika benar dakwaan tersebut, maka jelas bahawa
wujudnya isu pengkhianatan di situ apabila kepimpinan Dap telah
bekerjasama dengan sebuah negara yang tidak mempunyai hubungan
diplomatik dengan Malaysia malah turut mengadakan perjanjian kerjasama
politik sekiranya mereka menang PRU ke 13 yang lalu.
“Jika kepimpinan Dap mendakwa tuduhan itu hanya fitnah, maka Dap
perlu melakukan sesuatu. Jika mereka terus berdiam diri nampaknya
seolah-olah mereka membenarkan saja tuduhan tersebut,” tegasnya kepada
pihak media di sini hari ini.
Manakala menurut Pengerusi Barisan NGO-NGO Negeri Perak, Mohd Salleh
Khan Mohd Jaafar turut menggesa kepimpinan Dap memberikan penjelasan
secara terbuka kepada rakyat di negara ini, khususnya umat Islam
terhadap tuduhan yang mendakwa parti tersebut bekerjasama dengan Israel
untuk memenangi PRU yang lalu.
“Tuduhan bekerjasama dengan Israel ini amat serius bagi umat Islam di
negara ini, namun setakat ini tiada sebarang penjelasan yang memuaskan
hati semua pihak dari kepimpinan Dap berhubung tuduhan ini. Malah
setakat ini, tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap Razali yang
telah mendedahkan perkara ini sejak beberapa tahun yang lalu.
“Bahkan pendedahan Razali yang mendakwa Dap juga menerima dana
politik sebanyak RM1.2 bilion daripada Israel untuk merealisasikan
kemenangan pakatan pembangkang di dalam PRU ke 13 yang lalu masih juga
tidak dijawab secara tuntas oleh kepimpinan Dap. Justeru itu, saya
mewakili suara NGO di peringkat akar umbi menggesa Dap agar segera
memberikan penjelasan berhubung tuduhan ini,” ujarnya.
Dzulkarnain Taib, Presiden Yayasan Media Hebat (YMH) pula meminta
pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan Razali Abdul Rahman berhubung
dakwaan kerjasama parti tersebut dengan negara Israel.
“Pada pandangan saya, satu siasatan perlu dilakukan di atas dakwaan
Razali itu kerana tuduhan yang dilontarkan beliau itu amat serius. Ini
memandangkan jika wujud kerjasama dengan Israel maka ada kemungkinan
rundingan itu berlaku di luar batasan undang-undang, kerana negara kita
sendiri tidak mengiktiraf negara Israel dan tidak mempunyai sebarang
hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
“Saya juga menuntut penjelasan serta pendirian daripada kepimpinan
Dap terhadap regim Zionis yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap
rakyat di Palestin. Jika Dap masih berdolak dalih dengan penafian yang
tidak meyakinkan serta tidak bertindak menyaman Razali yang mendakwa
mereka menerima dana sebanyak RM1.2 bilion daripada regim itu, bermakna
tindakan mereka itu seolah-olah mengesahkan kebenaran dakwaan Razali
itu,” tegasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment